Rekod Kesihatan Elektronik: KKM harap peruntukan ditambah

Boon Chye melawat dan beramah mesra bersama seorang pesakit yang menerima rawatan selepas Majlis Dialog Bersama Kakitangan Klinik Kesihatan Sungai Lembing di sini hari ini.
Boon Chye melawat dan beramah mesra bersama seorang pesakit yang menerima rawatan selepas Majlis Dialog Bersama Kakitangan Klinik Kesihatan Sungai Lembing di sini hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Kementerian Kesihatan (KKM) akan memohon peruntukan daripada kerajaan Persekutuan untuk pelaksanaan Rekod Kesihatan Elektronik (EMR) bagi memastikan perkhidmatan kesihatan di negara ini dapat dilaksanakan dengan lebih efisien dan sistematik.

Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye berkata, pihaknya sudah memohon dana tambahan dan berharap tambahan peruntukan untuk EMR akan diluluskan menerusi Belanjawan 2020 yang akan dibentang pada Oktober depan.

Menurutnya, peranan EMR dalam sektor kesihatan amat penting kerana sistem tersebut dapat menyimpan semua data mengenai pesakit yang menerima rawatan di hospital dan klinik.

"Semua rekod kesihatan seperti alergik, penyakit dan pesakit selepas ini tidak lagi perlu melakukan ujian makmal berulang kali dengan adanya sistem EMR.

"Ini adalah antara perkara yang kita harap diberi pertimbangan sewajarnya oleh kerajaan Persekutuan pada Belanjawan yang akan datang.

"Kita juga sudah kemukakan cadangan pihak kita untuk penilaian daripada Kementerian Kewangan dan saya percaya kerajaan akan memberi perhatian terhadap permohonan ini memandangkan kita komited dalam memastikan sistem penyampaian dapat dilakukan dengan lebih berkesan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Dialog Bersama Kakitangan Klinik Kesihatan Sungai Lembing dekat sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Shaari Ngadiman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Shohaimi Mohammed Shah.

Artikel Berkaitan:

Boon Chye berkata, selain EMR yang menjadi fokus utama, pihaknya mengharapkan agar rayuan peruntukan tambahan KKM berdasarkan manifesto PH pada Pilihanraya Umum (PRU) lalu dapat diluluskan.

"Kita berharap Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) yang kita akan teruskan tahun hadapan dapat ditambah jumlahnya yang sebelum ini menerima peruntukan RM100 juta bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat yang layak menerima kemudahan ini.

"Kita juga mengharapkan peruntukan kempen program berhenti rokok dapat ditambah disebabkan kita ingin memperluaskan program ini dan memastikan kempen itu berjaya," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan isu jerebu yang melanda negara ketika ini, Boon Chye berkata, KKM menyediakan 22 klinik kesihatan di seluruh negara bagi memantau dua jenis penyakit yang biasa dikesan akibat keadaan berjerebu.

"Semua klinik kesihatan ini akan merekodkan maklumat berkaitan penyakit konjunktivitis atau sakit mata dan penyakit lain membabitkan masalah pernafasan... rekod daripada 22 klinik kesihatan ini akan dijadikan rujukan bagi mengenal pasti rawatan bersesuaian untuk mereka (pesakit) yang datang ke klinik bagi mendapatkan rawatan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!