Gabung UMT, UniSZA bukti PH gagal baiki kelemahan: Abdul Hadi

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang
A
A
A

MARANG - Penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mampu melaksanakan pembaharuan selepas mengambil alih pentadbiran negara.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kerajaan hanya meneruskan apa yang sudah berjaya dibuat oleh Barisan Nasional (BN) namun gagal membaiki kelemahan kerajaan terdahulu.

“Yang tidak berjaya, gagal dan lemah, PH tidak mampu nak baiki. Jadi dia hanya teruskan apa yang orang buat dulu, kalau gabung tu maksudnya lemahlah, tidak mampu nak berasingan,” katanya selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila hari ini.

Kabinet dilaporkan bersetuju secara prinsip dengan penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Penggabungan itu dilihat sebagai salah satu transformasi penyampaian pendidikan tinggi terutamanya dalam memantapkan keupayaan universiti untuk mempertingkat kedudukan sosioekonomi.

Menurut Abdul Hadi, lebih baik sekiranya kerajaan menyerahkan kembali UniSZA kepada kerajaan Terengganu apatah lagi institusi pengajian itu pada awalnya milik negeri ini.

Beliau percaya UniSZA lebih cemerlang jika diuruskan oleh kerajaan Terengganu dan mencadangkan rundingan semula diadakan dengan kerajaan Pusat.

“Saya difahamkan dulu pun ramai tidak setuju diserahkan kepada Pusat sebab Terengganu perlu ada (institusi pengajian) sendiri. Masa itu kita nak ringankan tanggungjawab kerana ada masalah kewangan dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

“Jadi apa salahnya balik (serah) semula. Kita Pas walau bukan kerajaan boleh urus pusat pengajian dari rendah hingga ke peringkat tinggi,” katanya.

Pada 11 September lalu, Sinar Harian melaporkan jemaah menteri yang bermesyuarat pada 4 September setuju penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Berdasarkan kenyataan Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan, penggabungan itu salah satu transformasi penyampaian pendidikan tinggi dan ia perkara penting bagi memantapkan lagi keupayaan universiti.

Penggabungan itu juga sebagai meningkatkan kedudukan sosio ekonomi selaras dengan lonjakan 10 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025.

ARTIKEL BERKAITAN: Kabinet setuju UMT, UniSZA bergabung

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!