Selami kesusahan rakyat dari Program Jelajah Back To School

Ibu tunggal sembilan anak, Noraini Awang, 53, bersama anak-anaknya gembira menerima bantuan beg, peralatan sekolah dan wang tunai yang disampaikan Sharifah Norhayati.
Ibu tunggal sembilan anak, Noraini Awang, 53, bersama anak-anaknya gembira menerima bantuan beg, peralatan sekolah dan wang tunai yang disampaikan Sharifah Norhayati.
A
A
A

KEMAMAN - Kedaifan dan kesusahan hidup rakyat diselami Ketua Wanita PKR Terengganu, Sharifah Norhayati Syed Omar menerusi kunjungan terus ke rumah 360 penerima bantuan Program Jelajah 'Back To School' di seluruh negeri ini yang berakhir di Kemaman hari ini.

Siri jelajah yang bermula di Besut itu menunjukkan masih ramai rakyat di negeri ini dibelenggu kemiskinan dan ada yang berteduh di rumah dindingnya reput yang jika ditekan dengan jari pun, dinding itu boleh tembus.

Sharifah Norhayati berkata, situasi rumah itu yang dilihatnya di Hulu Terengganu cukup meruntun hati, namun pada masa sama ia menjadi titik permulaan untuk terus membantu mengubah nasib kesemua keluarga penerima yang didekati itu.

Menurutnya, kunjungan itu berjaya mendekati masyarakat secara lebih bersasar.

"Selalunya penerima akan dipanggil berkumpul di dewan atau balai raya untuk diberi bantuan tapi menerusi program ini, saya turun padang berjumpa mereka kerana hanya dengan cara begini akan lebih memahami kesusahan mereka.

"Bantuan yang dihulur ini diharap dapat meringankan beban mereka di awal sesi persekolahan," katanya ketika menyampaikan bantuan itu kepada penerima di Desa Maidam, Mak Chili, di sini.

Turut bersama dalam program ini adalah Naib Ketua PKR Terengganu, Roskatini Mat Hassan; Bendahari, Suraya Harun dan Ketua Penerangan, Siti Fazira Mohd Sofian.

Bantuan yang dihulur berupa beg sekolah, tudung, alat tulis dan wang tunai antara RM50 atau RM100 bergantung kepada kapasiti keluarga penerima.

Artikel Berkaitan:

Menerusi kelainan yang dilakukan itu, Sharifah Norhayati yang juga Ketua Wanita PH Terengganu mengakui dapat merapatkan lagi hubungan dengan masyarakat.

Inisiatif itu juga dilakukan sejajar dengan dasar 'pemerdayaan komuniti' yang ingin diterapkan dalam masyarakat oleh kerajaan PH.

Dasar itu menekankan agar ahli masyarakat mengambil sikap ambil tahu siapa sekeliling mereka ke arah mewujudkan masyarakat yang lebih harmoni dan bahagia.

Melihat keberkesanan program jelajah terus ke rumah itu, kata Sharifah Norhayati lagi, siri jelajah itu akan diteruskan dalam tempoh terdekat dengan menyasarkan memberi bantuan kepada ibu tunggal pula.

"Mungkin kita tak mampu bantu dari segi wang ringgit semata-mata, tetapi kita akan membantu untuk pemerdayaan ekonomi mereka.

"Kita mungkin ambil nama, kenal pasti mereka dan hantar mengikuti kursus kemahiran yang dari kemahiran itu mereka boleh tambah pendapatan,” ujarnya.

Jelasnya, siri-siri jelajah ini tidak akan berhenti dan akan minta kesemua jawatankuasa baharu dilantik minggu lepas di setiap Cabang agar bergerak seperti yang telah dibuat.

Sementara itu, bantuan awal persekolahan yang dihulur itu sedikit sebanyak mengubat duka warga emas, Fatimah Mohd Yusof, 74, yang kematian anaknya, Che Engku Ahmad Al-Amin Che Engku Long, 35, minggu lalu dan kini menjaga cucunya berusia lapan tahun, Che Engku Dia Qaisara.

Kata Fatimah, anaknya yang mempunyai tiga anak terlantar sakit sejak empat tahun lalu kerana menghidap pelbagai penyakit termasuk kencing manis dan penyakit misteri.

"Lepas terlantar sakit terlalu lama, arwah menderita penyakit buah pinggang pula dan hembuskan nafas akhir minggu lepas.

"Sekarang makcik galas tugas jaga seorang daripada anak arwah. Dua lagi tinggal dengan ibu mereka. Memang rasa sangat terharu dapat bantuan ini sebab ini pertama kali kami dapat bantuan sekolah yang dihantar terus ke rumah," katanya yang turut menerima bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM350 sebulan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!