1,104 penumpang terjejas akibat jerebu di LTSAS
IPOH - [VIDEO] Seramai 1,104 penumpang bagi empat penerbangan yang sepatutnya mendarat dan berlepas di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini terkandas akibat cuaca buruk dan jerebu.
Pengurus LTSAS, Mohd Ali Osman berkata, seramai 555 penumpang dijadualkan mendarat dan 549 penumpang sepatutnya berlepas dari LTSAS.
Menurutnya, dua penerbangan membabitkan pesawat Scoot Airlines dari Singapura, sebuah pesawat AirAsia dari Johor Bahru dan sebuah pesawat Malindo Air yang juga dari Singapura.
"Kelewatan bermula jam 9 pagi apabila pesawat dari Scoot Airlines yang sepatutnya tiba dari Singapura terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Selain dilencongkan ke KLIA ada juga pesawat yang terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang,” katanya.
Mohd Ali berkata, hanya satu penerbangan dijadualkan semula pagi esok membabitkan pesawat Scoot Airlines, manakala pesawat lain masih dalam perbincangan.
“Penerbangan membabitkan pesawat AirAsia ke Johor Bahru juga setakat ini dibatalkan dan akan dijadualkan semula.
"Kami berharap situasi semasa cuaca akan berada pada tahap baik esok supaya segala urusan membabitkan penangguhan penerbangan dapat diatasi dengan sebaiknya," katanya.
Bacaan Indeks Pencemaran Udara di Perak mencatatkan kualiti udara tidak sihat setakat jam 5 petang hari ini.
Berdasarkan maklumat Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), kawasan Seri Manjung mencatatkan bacaan 141 manakala kawasan Tasek dan Pegoh di sini mencatatkan 134 dan 112.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!