ALLAH pinjamkan suami 10 hari
ALOR SETAR - Seorang pegawai perubatan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar hanya sempat bergelar isteri selama 10 hari apabila arwah suaminya, Dr Mohammad Farid Ismail, 28, maut kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Jalan Changlun-Kuala Perlis 23 Ogos lalu.
Bagaimanapun, Dr Syafiqah Sukri, 28, yang melangsungkan perkahwinan pada 14 Ogos reda dengan ketentuan Ilahi meski pada awalnya mengakui tidak percaya selepas dimaklumkan mengenai kejadian menimpa suaminya kira-kira jam 6.30 pagi itu.
Menurutnya, arwah Mohammad Farid bangun pagi sebelum Subuh seperti biasa pada hari kejadian dan bertolak ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar tanpa menunjukkan sebarang perubahan sikap.
"Tapi sehari sebelum kejadian kami ada melawat pusara ibunya di Pendang dan arwah suami beritahu dia terlalu rindu arwah ibunya. Saya nampak matanya berair. Dia kata kalau boleh mahu disemadikan dekat dengan ibunya.
"Saya memang tidak syak apa-apa kerana suami memang rapat dengan ibunya. Akhirnya apa yang dihasratkan arwah suami kami tunaikan dan dia memang disemadikan bersebelahan pusara arwah ibunya," katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui selepas menerima cek Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di rumahnya di Taman Sri Pantai, Pantai Johor di sini hari ini.
Sumbangan itu disampaikan oleh Pengarah HTF, Dr Othman Warijo dan Pengarah HSB, Dr Zaiton Udin dengan disaksikan Pengarah Perkeso Perlis, Basharudin Khalid serta Timbalan Pengarah Perkeso Kedah, Mohd Asri Mohd Rasid.
Selain cek faedah FPM, Dr Syafiqah turut layak menerima bayaran Faedah Orang Tanggungan (FOT) seumur hidup yang dibayar secara bulanan dengan anggaran sebanyak RM2,130 sebulan.
Bayaran itu layak diterima kerana arwah Dr Mohammad Farid adalah pencarum Perkeso dan terlibat kemalangan pada waktu kerja.
Dr Syafiqah berkata, suaminya adalah anak ke-12 dari 13 beradik dan dia akan menggunakan bayaran FOT yang diterimanya untuk membantu keluarga Dr Mohammad Farid terutamanya anak-anak saudara arwah.
Sementara itu, Basharudin berkata, isteri mangsa akan menerima dua jenis pampasan iaitu FPM berjumlah RM2,000 dan FOT bagi Ogos sebanyak RM568, manakala bayaran penuh FOT akan diberikan bermula bulan ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!