Dua masjid, 13 rumah terjejas akibat ribut
KOTA KINABALU - Dua buah masjid dan 13 buah rumah terjejas ekoran angin kencang yang melanda kawasan Petagas, Putatan dekat sini tengah malam tadi.
Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam insiden berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Uda Sulai berkata, dua masjid yang terlibat adalah Masjid Nur Al Jannah di Kampung Petagas dan Masjid Al Mahabbah, Kampung Muhibbah, Petagas.
“Tiga belas buah rumah yang terjejas mengalami kerosakan bumbung yang diterbangkan angin kencang, dua masjid tersebut turut mengalami keadaan serupa,” katanya selepas melawat ke rumah-rumah yang terjejas di sini hari ini.
Beliau yang juga Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah berkata, satu laporan terperinci akan disediakan mengenal pasti kerosakan sebelum memberikan bantuan susulan.
"Angin kencang melanda daerah berkenaan jam 12 tengah malam tadi menyebabkan banyak kerosakan berlaku.
"Saya sudah melawat kesemua mangsa selain masjid bersama pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah dan Jabatan Kebajikan dan kini saya sedang membuat laporan terperinci untuk menyediakan bantuan yang diperlukan," katanya.
Bagaimanapun Uda berkata, sehingga kini tiada mangsa yang dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS), namun pihaknya akan terus memantau keadaan berkenaan dari semasa ke semasa.
"Saya berharap semua mangsa yang terjejas dalam bencana ini supaya bersabar dan reda menerima keadaan ini kerana ini kehendak ditentukan ALLAH SWT,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!