Jangan buat laporan polis, titah Permaisuri Agong
KUALA LUMPUR - Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandriah hari ini bertitah baginda menyahaktif akaun Twitter bukan disebabkan sedih atau marah.
Baginda bertitah akaun Twitter @cheminahsayang itu dinyahaktif atas alasan peribadi dan bukannya disebabkan buli siber.
Kenyataan Tunku Azizah itu dikongsi oleh anakanda baginda Tengku Puteri Afzan Aminah di laman Twitter sebentar tadi.
Tunku Azizah turut bertitah, baginda tidak bersedih atau marah atas komen itu kerana tidak membaca dan mengetahui mengenai perkara tersebut.
“Tolong... saya menyahaktif akaun bukan sebab kecewa, sakit atau marah dengan komen mereka. Saya langsung tak baca mahupun sedar akan kewujudan komen-komen tersebut.
“Ia tiada kaitan dengan komen tersebut. Saya ada sebab peribadi sendiri. Tolong jangan buat sebarang laporan polis,” ujar baginda menerusi paparan skrin yang dikongsikan anakanda baginda.
Rabu lalu, akaun @cheminahsayang milik baginda telah dinyahaktif, dipercayai berikutan komen negatif dari seorang pemilik akaun Yok@frdsasrf yang dikatakan mengeluarkan kenyataan kurang sopan pada ruangan komen akaun baginda.
Petang semalam salah seorang pemilik akaun itu telah menyembah ampun kepada Permaisuri Agong terhadap tindakannya yang menyinggung pelbagai pihak.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Patik minta ampun, patik derhaka...'
Tunku Azizah tutup Twitter, netizen rayu aktif semula
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!