Pas bukan seperti DAP, kata Ketua Pemuda Pas

Kahiril Nizam
Kahiril Nizam
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda Pas, Ir Kahiril Nizam Khirudin berkata, rakyat bukan Islam tidak perlu bimbang dengan parti itu kerana mereka bukan seperti DAP.

Katanya, ini kerana usaha ke arah penyatuan ummah antara Pas dengan UMNO adalah untuk semua kaum demi kebaikan semua agama dan Malaysia secara keseluruhannya.

"MCA nak memenangi hati orang Cina dengan menjadi rasis dan kamu akan kalah kerana tidak mampu menandingi kehebatan rasis DAP.

"Kalau kamu nak memperjuangkan bangsa Melayu dan memenangi hati mereka dengan pendekatan liberal, kamu tidak akan menang melawan PKR dan Bersatu.

"Kalau nak ambil hati orang Melayu resipi utama adalah pada nama agamanya iaitu Islam," katanya pada Townhall Anak Muda Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Menurutnya, sekiranya Pas dan UMNO mahu menumbangkan kerajaan zalim hari ini dengan cara menggerakkan kekuatan pemuda kedua-dua parti, mereka boleh mengadakan demonstrasi di depan Putrajaya sehingga jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH), tetapi ia tidak dilakukan kerana mahu menang dengan cara terhormat.

"Kita mahu masuk ke Putrajaya dengan cara terhormat, kita mahu masuk seperti mereka (PH) masuk.

"Maka kita gunakan pendekatan politik secara aman. Pendekatan ini ada yang kata akan menjadi suatu perjalanan pandang. Tidak mengapa biarkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai pemeteraian Piagam Penyatuan Ummah, Khairil berkata, sekiranya ia tidak memperjuangkan keadilan mengikut formula Islam dan hanya bergantung kepada skop Melayu sahaja, maka tegur semua pihak yang terlibat.

"Buat demo di depan Ibu Pejabat Agung Pas dan UMNO. Tegur kami dan betulkan kami.

"Saya tidak mahu kita melangkah untuk memimpin dengan cara sumbang pada permulaan, kita akan jadi seperti PH," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!