Penduduk Kuala Kedah rayu selesai masalah air

Peniaga Nazura Azali, 35, menunjukkan air mineral yang terpaksa dibeli ekoran masalah bekalan air yang sering terputus di gerainya di Kampung Telok Talipon, Kuala Kedah hari ini. - Foto Bernama
Peniaga Nazura Azali, 35, menunjukkan air mineral yang terpaksa dibeli ekoran masalah bekalan air yang sering terputus di gerainya di Kampung Telok Talipon, Kuala Kedah hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR- Kira-kira 100 penduduk di dua kampung di Kuala Kedah dekat sini, merayu Syarikat Air Darulaman (Sada) menyelesaikan masalah bekalan air yang menjejaskan kehidupan harian mereka sejak setahun lalu.

Seorang penduduk, Nor Mohd Yusli Yusof, 37, berkata beberapa aduan telah dikemukakan kepada Sada namun masalah membabitkan kampung Telok Talipon dan Keluncur itu masih berlarutan hingga kini.

“Sebelum ini ada juga air pada sebelah siang, namun keadaan semakin parah apabila kami hanya boleh dapat air tengah malam dan awal pagi dan hanya pada waktu itu kami basuh baju, basuh pinggan dan tadah air.

“Bukan itu saja, ada keluarga yang terpaksa membawa anak-anak pergi mandi di stesen minyak, masjid atau pasar raya dan ada yang ke rumah rakan untuk mendapatkan bekalan air,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Masri Ali, 53, pula mendakwa walaupun sudah menggunakan pam tekanan tinggi, aliran air tetap rendah disebabkan terdapat projek pembangunan di kawasan itu.

“Sada tidak boleh lepas tangan dan wajib menyelesaikannya, kami mahu Sada ambil perhatian dan tindakan segera untuk mengatasinya kerana ia keperluan utama penduduk,” katanya yang kecewa kerana tiada bekalan air yang dihantar oleh lori Sada ke kampung itu sehingga kini.

Bagi peniaga gerai makan Nazura Azali, 35, dia terpaksa membeli air mineral untuk kegunaan di gerainya sekali gus menyebabkan kos operasi meningkat.

“Bayangkan saya berniaga minuman dan bihun sup di tepi jalan dengan pendapatan tak seberapa, ini pula kena beli air mineral yang mahal dan ia sangat membebankan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Sada, Ahmad Hakimi Abu Bakar ketika dihubungi berkata pihaknya maklum tentang masalah tersebut dan mengambil beberapa tindakan untuk mengatasinya.

“Kita akan membebaskan angin di dalam sistem perpaipan untuk meningkatkan tekanan air di kawasan itu serta melakukan pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada kebocoran paip air berlaku.

“Selain itu, agihan semula dengan sumber terhad akan dilakukan bagi menstabilkan kembali tekanan air dan akan menggerakkan lori tangki untuk membekalkan air di kawasan terjejas,” katanya.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!