Teladani kisah Aus dan Khazraj
KUALA LUMPUR - Buat pertama kalinya khutbah solat Jumaat di Surau Ar-Rahman Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini dibacakan pemimpin Pas.
Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man diberi kepercayaan untuk membacakan khutbah menyeru umat Islam meneladani kisah kabilah Aus dan Khazraj.
Antara kandungan khutbah yang dibacakan Tuan Ibrahim ialah Kabilah Aus dan Khazraj sebelum ini diuji dengan fitnah ketika baru sahaja menamatkan perbalahan antara mereka sejak sekian lama.
“Bagaimanapun, perdamaian kedua-dua kabilah itu menimbulkan perasaan tidak senang dalam kalangan Yahudi Madinah. Mereka bimbang penyatuan tersebut bukan sahaja dalam konteks akidah dan iman tetapi dikhuatiri akan membina kekuatan umat, ekonomi, politik dan ketenteraan Islam.
“Lalu Yahudi Madinah ini mengambil inisiatif untuk mengapi-apikan permusuhan lama antara kabilah Aus dan Khazraj sehingga perdamaian yang dikecapi itu tercemar dengan perkelahian,” katanya.
Tuan Ibrahim berkata, kedua-dua kabilah tersebut tersedar dan menangis dengan penuh keinsafan kerana terpengaruh dengan bisikan syaitan susulan pertelingkahan mereka selama ini.
“Oleh itu kita sebagai umat Islam perlu mengambil pengajaran daripada peristiwa ini agar tidak terpengaruh dengan bisikan syaitan yang cuba memecah-belahkan perpaduan antara kita.
“Kita juga jangan sama sekali membawa bisikan syaitan ke dalam kumpulan yang telah disatukan. Membina perpaduan bukan perkara mudah tetapi meruntuhkan adalah amat mudah, jadi kita perlu berhati-hati,” katanya.
Turut serta dalam solat Jumaat berjemaah itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan; bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Manakala, pimpinan Pas lain yang hadir ialah Naib Presiden Pas, Idris Ahmad dan Ketua Penerangan, Kamaruzaman Muhamad.
Solat Jumaat dipimpin imam Surau Ar-Rahman, Mohd Shukri Ali dan disusuli solat hajat yang dipimpin Jamil Khir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!