Enam gerai MPJL rosak dibadai ribut

Keadaan gerai MPJL di Bandar Seri Jempol yang rosak. - Foto orang awam
Keadaan gerai MPJL di Bandar Seri Jempol yang rosak. - Foto orang awam
A
A
A

JEMPOL - Sebanyak enam lot gerai Medan Selera Bandar Seri Jempol milik Majlis Perbandaran Jempol (MPJL) di sini terjejas akibat hujan lebat dan ribut dalam kejadian yang berlaku lewat petang tadi.

Yang Dipertua MPJL, Raja Norazli Raja Nordin berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 5.30 petang itu mengakibatkan kerosakan di bahagian bumbung, siling tercabut selain kerosakan pendawaian elektrik.

Menurutnya, bagaimanapun kejadian itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Kerosakan khemah di lapang jaja Bandar Seri Jempol. - Foto orang awam
Kerosakan khemah di lapang jaja Bandar Seri Jempol. - Foto orang awam

"Kerja-kerja pembersihan tapak telah dijalankan dan pihak majlis akan membaiki kerosakan yang dinyatakan menggunakan peruntukan sedia ada dalam anggaran awal RM100,000.

"Manakala sekitar Bandar Seri Jempol pula terdapat beberapa pokok tumbang dan kami juga telah menjalankan kerja pembersihan awal bagi membuka laluan untuk orang awam.

"Kerja-kerja pembersihan sepenuhnya akan dijalankan dalam kadar segera," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Artikel Berkaitan:

Raja Norazli berkata, terdapat juga beberapa kerosakan khemah di lapang jaja sedia ada dan sebarang bantuan jentera atau petugas akan disalurkan mengikut kesesuaian.

"Orang ramai diharap dapat bersabar dan mengambil tindakan rasional serta memberi kerjasama sepenuhnya kepada pentadbiran MPJL, untuk membantu menyelesaikan segala permasalahan di bawah bidang kuasa MPJL," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!