Dulu penjawat awam, kini tauke kuih bulan

Nur Farrah Diba membuat kuih bulan yang ditempah pelanggan kebanyakannya dari kalangan masyarakat Cina pada Festival Pertengahan Musim Luruh (Mid-Autumn Festival) yang akan disambut hari ini. - Foto Bernama
Nur Farrah Diba membuat kuih bulan yang ditempah pelanggan kebanyakannya dari kalangan masyarakat Cina pada Festival Pertengahan Musim Luruh (Mid-Autumn Festival) yang akan disambut hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kebolehan Nur Farrah Diba Azhar, seorang usahawan muda di sini menghasilkan kuih bulan mengikut resipi asli masyarakat Cina menjadi perhatian setelah kisahnya tular di media sosial baru-baru ini.

Namun, di sebalik kejayaannya itu, beliau berterima kasih kepada seorang wanita Cina yang dipanggilnya ‘auntie’ kerana sudi menurunkan ilmu cara menghasilkan kuih tradisional masyarakat itu yang dimakan setiap kali sambutan Pesta Tanglung.

“Walaupun saya tidak tahu nama sebenar beliau tetapi auntie tidak keberatan, malah seronok apabila saya memintanya untuk mengajar saya bagaimana hendak membuat kuih bulan,” kata bekas penjawat awam itu yang berhenti pada 2016 untuk menjadi usahawan sepenuh masa, kepada Bernama.

No Image Caption

Kini, Nur Farrah Diba, 29, dapat berbangga apabila kegigihannya menuntut ilmu menghasilkan kuih tradisional itu sejak dua tahun lepas membuahkan hasil apabila perniagaannya menjual kuih bulan yang halal dengan harga berpatutan mendapat permintaan tinggi daripada masyarakat.

“Bermula dengan kuih bulan biasa, auntie kemudian ajarkan beberapa jenis kuih bulan seperti 3Q, QQ, ‘Shanghai moon cake’, ‘jelly moon cake’ dan ‘snow skin moon cake’. Keseluruhannya saya sudah belajar buat tujuh jenis kuih bulan,” katanya.

Kuih bulan yang dihasilkannya dijual pada harga antara RM8 dan RM12 dan tahun ini, beliau bersama-sama enam pekerjanya telah mula menghasilkan kuih bulan sejak 5 September lepas dan dijangka akan berterusan sehingga Oktober.

“Tahun lepas kami menghasilkan sebanyak 4,000 kuih bulan, namun tahun ini kami sudah menghasilkan 7,000 biji kuih bulan...sudah melepasi sasaran asal 5,000 biji. Dalam satu hari, kami menghasilkan 1,000 biji,” katanya yang turut menghasilkan kuih kapit, kuih bakul dan kuih raya berjenama Captain Crunchy. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!