Ilmu dicari untuk kemegahan

A
A
A

AKAL adalah suatu anugerah ALLAH kepada manusia untuk membezakan tingkat darjatnya dengan ciptaan yang lain.

Akal perlu sentiasa dibersihkan supaya boleh memahami sesuatu perkara dengan mendalam, jitu pemikirannya dan berpandangan jauh.

Akal juga perlu diperkukuh untuk memperbetulkan iktikad kita dalam beragama serta mengatur pergaulan dan urusan seharian.

Akal perlu dijaga dengan baik sehinggakan agama Islam melarang keras seseorang itu mabuk, terlibat dengan gejala dadah dan apa jua perkara yang boleh melemahkan akal.

Sebetulnya akal perlu diperkukuhkan dengan ilmu kerana selalu berlaku pertembungan dengan nafsu.

Berkaitan hal ini Bapak Hamka ada mengulas, “Akal selalu menimbang antara yang buruk lalu memilih yang mana baik. Sedang hawa nafsu, yang jahatlah dipilihnya. Akal selalu mengikat dan menahan, sedang hawa nafsu selalu ingin lepas. Akal membatas kemerdekaan, hawa nafsu ingin merdeka dalam segala perkara. Akal memutuskan sesuatu perkara dengan alasan, tetapi hawa nafsu dengan syahwatnya.”

Pun begitu, akal akan menjadi lemah sekiranya ilmu tersebut tidak didasari dengan iman. Kegagalan kita melawan nafsu menyebabkan kita cenderung untuk berlaku jahil walaupun tinggi ilmunya.

Apa yang paling ditakuti, ada pihak tergolong dalam kelompok jahil di mana semakin diberi peringatan, semakin bertambah jahilnya lantaran kesombongan dan keangkuhan diri.

Artikel Berkaitan:

Mereka cukup berbangga dengan ilmunya hingga sukar untuk ditegur dan diberi nasihat. Apa yang jelas kelompok ini hanya belajar ilmu untuk mencapai kemegahan dan mencari nama.

Malah ada juga yang menggunakan ilmu tersebut untuk menegakkan fahaman mereka, meruntuhkan perpaduan, memusnahkan kasih sayang dan berbuat zalim.

Begitu rendahnya nilai orang yang berilmu tetapi untuk dirinya sendiri. Malah mengorbankan masyarakat dengan ilmunya. Mereka yang menuntut ilmu untuk tujuan sebegini telah rosak batin mereka.

Sebelum sesuatu ilmu itu dituntut, janganlah lupa tujuan sebenar kita menuntut ilmu adalah untuk mensyukuri segala nikmat ALLAH dan sedar tujuan kita diciptakan ke alam ini.

Ilmu itu sepatutnya boleh mendatangkan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Sewaktu zaman Rasulullah SAW, Baginda tidak pun mengajar ilmu kimia, biologi dan sebagainya.

Namun ilmu tersebut berkembang setelah kewafatan Baginda. Ini kerana umat Islam selepas itu, menggali dan meneroka ilmu berdasarkan falsafah Islam itu sendiri yang bersandarkan kepada Quran dan Hadis serta dengan niat dan tujuan yang ikhlas untuk memakmurkan dunia bagi mencapai kesempurnaan akhirat.

Pada hari ini, begitu ramai yang popular dalam menyebarkan ilmu. Namun tidak ramai yang memahami ilmu tersebut secara mendalam. Natijahnya, bicara mereka hanya sedap didengar namun ilmunya tidak sampai ke hati.

Golongan sebegini, sudah jauh tersimpang daripada tujuan akal dicipta untuk menyebarkan kebenaran dan bukannya mengambil kesempatan daripada bakat kepetahan yang dikurniakan oleh ALLAH.

Mereka juga seumpama tukang ubat yang mencuba pelbagai jenis bahan bagi dijadikan ubat namun bertukar menjadi racun kerana tersilap bahan dan tersalah sukatan.

Malah, sesuatu ilmu tidaklah dekat dengan hati dan jiwa jika hanya pandai bicara tetapi tidak diamalkan.

Pada hemat saya, usaha memperkukuhkan akal dengan ilmu yang benar serta berlandaskan kepada iman cukup penting bagi mencapai kesejahteraan dunia dan akhirat.

Selain itu, membolehkan hati kita menjadi lebih tenang dan jauh daripada sifat angkuh bahkan segala sanjungan gelaran kerana pencapaian ilmu dirasakan cukup kerdil seandainya kita memahami amanah dan tanggung jawab untuk menyebarkan semula ilmu tersebut pada masyarakat.

Ingatlah, selain daripada azab neraka di akhirat, ada lagi azab yang paling berat iaitu nikmat yang telah dicabut serta jiwa yang tiada lagi cahaya hidayah oleh ALLAH sewaktu kita masih hidup.

Lantaran itu, jujurlah dalam mencari ilmu dan menyebarkan ilmu bagi membina akal yang utuh. Sesuatu ilmu tidaklah dekat dengan hati dan jiwa jika hanya pandai bicara tetapi tidak diamalkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!