Isytihar darurat jika IPU lebih 500

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pengisytiharan darurat jerebu hanya akan diumum sekiranya indeks pencemaran udara (IPU) melebihi bacaan 500 iaitu sangat bahaya.

Maklumat tindakan utama bakal dilaksanakan dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan itu dikongsikan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, penutupan sekolah, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak dilaksanakan serta-merta jika IPU mencatat bacaan lebih 201 iaitu sangat tidak sihat pada tahap Amaran 3A.

Pusat Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan beroperasi 24 jam jika keadaan jerebu berada pada tahap 3B pada bacaan IPU yang sama.

"Jika udara berada pada tahap bahaya iaitu bacaan IPU antara 301 hingga 400, Amaran Tegas 4 akan dikeluarkan supaya orang awam mengambil langkah berjaga-jaga. Operasi pembenihan awan (OPA) juga akan diteruskan.

"Apabila keadaan jerebu memasuki Tahap Kecemasan 5 iaitu pada bacaan IPU 400 hingga 500, tindakan pelan Amaran Tegas 4 diteruskan," tulis kenyataan itu.

Terdahulu, agensi terlibat sudah mengambil langkah pelaksanaan Amaran Awal 1A, Amaran Awal 1B dan Amaran Awal 2 apabila keadaan jerebu direkod bertambah buruk dari bacaan IPU 101 hingga 200 ( tahap tidak sihat).

Sebanyak 29 buah sekolah di Klang dan Hulu Langat, Selangor ditutup sejak semalam susulan jerebu dengan bacaan IPU yang dicatatkan menunjukkan kualiti tidak sihat.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!