Hina Raja Permaisuri Agong: Bekas Ketua Pemuda PSM ditahan
SHAH ALAM - Bekas Ketua Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM), Khalid Ismath dicekup polis malam tadi kerana dipercayai menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di media sosial.
Khalid ditahan di kediamannya oleh sepasukan polis dari Bukit Aman kira-kira jam 10.30 malam tadi sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut.
Penahanan Khalid itu dimaklumkan PSM menerusi satu kenyataan hari ini dan menurut Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan, polis turut merampas telefon bimbit Khalid dalam tangkapan itu.
“Beliau (Khalid) dibawa ke IPD Dang Wangi dan akan direman esok. Beliau ditahan atas tuduhan di bawah Akta Hasutan Seksyen 4(1)B atas siasatan yang berkaitan dengan tweet kepada Raja Permaisuri Agong.
"PSM berpendapat penahanan Khalid pada waktu malam di rumah ini satu bentuk itmidasi yang boleh dielakkan dan PSM mengutuk tindakan tersebut.
"Sekiranya dirasakan perlu pihak polis boleh minta beliau hadir ke balai untuk diambil kenyataan dan kita percaya Khalid pasti akan berikan kerjasama sepenuhnya.
"Khalid sendiri sebelum ini sudah menafikan beliau ‘tweet’ apa-apa terhadap Raja Permaisuri Agong. Baginda pula sudah menyatakan pendirian mengenai perkara itu dan tidak pernah mengaitkannya dengan sesiapa," katanya.
Tambah S Arutchelvan, PSM juga berpendirian kerajaan PH sebelum ini sudah membuat keputusan memansuhkan Akta Penjajah-Akta Hasutan dan penggunaannya kini merupakan satu pencabulan hak asasi manusia dan ia harus dihentikan.
“PSM minta polis membebaskan Khalid dengan segera. Tindakan pihak berkuasa mahu reman seseorang sebelum membuat siasatan adalah satu tindakan yang bercanggah dengan prosedur Kanun Acara jenayah.
"Kita juga berharap Ketua Polis Negara baru dapat memastikan polis tidak menghukum seseorang dengan sewenang-wenangnya," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah mengesahkan penahanan tersebut.
"Suspek ditahan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Tunku Azizah menyahaktif akaun Twitter rasmi milik Baginda @cheminahsayang sehingga menjadi tular di media sosial.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Huzir Mohamed memaklumkan pihaknya menerima satu laporan berkaitan kes penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Twitter.
Ekoran daripada itu, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 dan siasatan kes itu dibuat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian D5 Bukit Aman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!