Tentera Israel cederakan 10 rakyat Palestin
BANDAR GAZA - Seramai 10 rakyat Palestin cedera pada petang Jumaat susulan serangan tentera Israel semasa perarakan mingguan di timur Semenanjung Gaza, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik Kementerian Kesihatan Palestin.
Kementerian itu menyebut dalam satu kenyataan ringkas bahawa keenam-enam mangsa yang cedera terkena peluru hidup namun tidak menjelaskan butiran lanjut kecederaan.
Pada Jumaat, beratus-ratus rakyat Palestin mengerumuni lima lokasi berhampiran pagar keselamatan berdekatan Semenanjung Gaza untuk mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan mingguan terhadap pendudukan rejim Israel yang dikenali sebagai “Perarakan Pulang Besar-Besaran."
Sejak perhimpunan di Gaza bermula pada Mac tahun lepas, hampir 270 penunjuk perasaan terbunuh manakala beribu-ribu lagi dicederakan oleh tentera Israel yang ditempatkan berhampiran zon penampan.
Penunjuk perasaan menuntut agar sekatan selama 12 tahun Israel ke atas Semenanjung Gaza dihentikan, yang telah memusnahkan ekonomi enklaf pesisir itu dan menjejaskan banyak kemudahan asas dua juta penduduknya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!