Sokong Azmin sebagai PM
GUA MUSANG - Kami menyokong Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Perdana Menteri tetapi selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Ketua Cabang Kuala Krai, Datuk Mohd Roslan Puteh.
Menurutnya, dalam permuafakatan Pakatan Harapan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) telah diputuskan bahawa Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu adalah Perdana Menteri kelapan.
Katanya, pendirian itu tidak akan berubah dan mendapat persetujuan bersama.
"Tak akan ada orang lain selain Anwar untuk memegang tampuk pimpinan selepas peralihan kuasa daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Kita menyokong Azmin sebagai PM tetapi selepas Anwar. Itu keputusan yang tidak akan berubah.
"Kita juga yakin peralihan kuasa akan berlaku dan kita mendoakan agar ianya dilakukan secepat mungkin," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PKR Gua Musang di Dewan Terbuka Taman Agropolitan Rantau Manis di sini semalam.
Turut hadir Ketua Cabang PKR Gua Musang, Zulqarnain Zakaria.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!