Melecur cuba hanyutkan bot terbakar
SUNGAI PETANI - Seorang lelaki melecur di bahagian muka dan tangan selepas disambar api ketika cuba membuka tali penambat bot nelayan yang terbakar di Jeti Semeling, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, dalam kejadian 1.40 pagi itu, dua bot nelayan terbakar dan mangsa berusia 20 tahun dikatakan mahu melepaskan bot terbabit ke tengah sungai bagi mengelak api merebak.
Menurutnya, kedua-dua bot berkenaan musnah, di mana bot pertama mengalami kemusnahan hingga 80 peratus, manakala bot kedua sebanyak 60 peratus.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani tiba di lokasi pada 1.50 pagi dan mendapati dua bot nelayan yang ditambat di jeti terbakar.
"Namun orang awam telah bertindak melepaskan ikatan bot untuk hanyutkan ke tengah sungai bagi mengelak kebakaran merebak ke bot-bot lain,” katanya.
Mohamadul Ehsan berkata, seorang mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani untuk rawatan lanjut.
“Punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!