‘Hantu-hantu penjajah’ bencikan perpaduan Melayu

Abdul Hadi berucap pada Himpunan Penyatuan Ummah hari ini. -Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
Abdul Hadi berucap pada Himpunan Penyatuan Ummah hari ini. -Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sekarang Malaysia sudah merdeka namun hanya pada jasadnya kerana ‘hantu-hantu penjajah Eropah’ masih berkeliaran merasuk pemikiran rakyat.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, hantu-hantu penjajah itu begitu bencikan perpaduan Melayu dan paling marah apabila Himpunan Penyatuan Ummah 2019 (HPU2019) dianjurkan.

“Insya-ALLAH kehadiran sahabat kita daripada kalangan bukan Melayu dan bukan Islam dapat menjernihkan keadaan. Namun keadaan yang cerah sebenarnya perlu melalui perubahan semula landskap negara.

“Ia telah dirosakkan makhluk-makhluk perosak yang masih berkeliaran ini sama ada dalam kalangan bukan Melayu yang salah faham atau Melayu yang menjadi kuda kayu yang ditunggang.

“Kaum lain bukan Melayu dan bukan Islam sepatutnya tidak merasa khuatir dengan adanya jaminan keadilan dan hak mengikut al-Quran yang wajib diimani oleh penganut Islam dan ditegaskan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum menandatangani Piagam Muafakat Nasional bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pagi tadi.

Tambah Abdul Hadi, perkara dibimbangi sekarang adalah keberanian melulu dalam kalangan parti politik dan individu yang menunjukkan sikap mencabar kedudukan Islam, hak istimewa orang Melayu, bumiputera dan Raja-raja.

“Situasi itu boleh mencetuskan ketegangan yang merosakkan hubungan yang telah terjalin dengan baik. Begitu juga kalangan orang Islam sendiri yang hilang jati diri Islam dan Melayu.

Artikel Berkaitan:

“Ia laksana tikus kekenyangan dalam kepuk padi atau semut yang bergelimpangan dalam gula. Mereka ini turut sama berperanan merosakkan konsep dominasi kaum yang memimpin bersama Islam.

“Rakyat pelbagai kaum hendaklah menolak ‘makhluk perosak’ ini dalam pilihan raya yang akan datang,” tegas beliau.

Dalam ucapan sama, Ahli Parlimen Marang itu menegaskan teori ‘Malaysian Malaysia’ dengan alasan menzalimi kaum lain adalah ajaran salah.

“Fahamlah di sini bahawa alam Melayu telah dicipta ALLAH, seperti juga alam bangsa lain.

“Cita-cita mahu menghapuskan bangsa, laksana mahu menghapuskan matahari dan bulan yang tidak mungkin dicapai oleh tangan manusia yang kakinya berpijak di bumi dan melihat ke angkasa lepas dengan pandangan yang terbatas,” katanya.

HPU2019 mencatat sejarah baharu arena politik negara apabila dua parti Melayu terbesar di Malaysia, UMNO dan Pas sekali lagi menjalinkan kerjasama selepas ‘berpisah’ selama puluhan tahun.

Penyatuan itu dikuatkan lagi dengan pemasyhuran Piagam Muafakat Nasional yang dipersetujui pemimpin tertinggi kedua-dua parti sekali gus bakal mencorak hala tuju baru UMNO-Pas selepas ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!