Khalid dibebaskan selepas hampir 14 jam ditahan
SHAH ALAM - Aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang juga bekas Ketua Pemuda PSM, Khalid Ismath yang ditahan polis di rumahnya malam tadi telah dibebaskan jam 12.15 tengah hari tadi.
Menerusi satu kenyataan akhbar oleh Ketua Pemuda PSM, Nik Aziz Afiq, Khalid yang ditangkap di bawah Akta Hasutan 1948 dibebaskan di bawah jaminan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi.
"Pihak polis tidak meneruskan cadangan untuk reman saudara Khalid, sebaliknya hanya diambil keterangan bagi membantu siasatan.
"Ingin ditegaskan pihak kami sentiasa bersedia untuk bekerjasama dan memberikan keterangan tanpa memerlukan penahanan aktivis kami. Tindakan menahan cuma rugikan masa serta sumber pihak polis dalam menjalankan tugas mereka.
"Kami juga ucapkan terima kasih atas keprihatinan Tuanku Permaisuri yang segera respons tentang isu ini bagi meredakan salah faham yang berlaku," katanya.
Tambah Nik Aziz, pihaknya menuntut kerajaan Malaysia untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 seperti yang dijanjikan kerana sebelum ini akta itu cuma digunakan untuk membuat penangkapan politik kerana kritik kerajaan.
"Kami berasa sedih kerana ia (Akta Hasutan) masih berterusan dalam Malaysia baru kini. Akta Hasutan 1948 adalah akta yang melanggari hak asasi manusia dan merampas hak untuk bersuara.
"Mansuhkan Akta Hasutan dengan segera dan bebaskan kesemua yang telah ditahan setakat ini hanya kerana memberikan kritikan," katanya.
Khalid ditahan di kediamannya oleh sepasukan polis dari Bukit Aman kira-kira jam 10.30 malam tadi sebelum dibawa ke IPD Dang Wangi untuk tindakan lanjut.
Penahanan itu susulan dipercayai menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di media sosial.
ARTIKEL BERKAITAN: Hina Raja Permaisuri Agong: Bekas Ketua Pemuda PSM ditahan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!