Tiga fokus utama kurangkan jurang kemiskinan
PUTRAJAYA - Kerajaan bersetuju memberi tumpuan terhadap tiga fokus utama termasuk jurang antara negeri-negeri kaya dan miskin dalam Dasar Kemakmuran Bersama.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, jurang antara negeri miskin perlu dikurangkan.
"Ini bermakna negara akan memberi tumpuan kepada negeri miskin agar dapat mempertingkatkan pendapatan mereka," katanya.
Menurutnya, kerajaan juga mendapati wujud jurang ketara penduduk bandar dari luar bandar.
"Di bandar kebiasaannya lebih kaya berbanding luar bandar yang terlalu miskin," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Mengenai Kemakmuran Bersama yang turut dihadiri barisan menteri Kabinet di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, kerajaan perlu mempertingkatkan pendapatan penduduk dengan menyediakan latihan.
"Tingkatkan pendapatan bukan dengan naik gaji tetapi meningkatkan keupayaan pekerja supaya lebih produktif," katanya.
Dr Mahathir berkata, kerajaan juga bersetuju untuk memberi keutamaan terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
"Apabila kita meletakkan sesuatu itu menjadi keutamaan maka bajet kita juga akan memberi tekanan kepada keutamaan," katanya.
Menurutnya, kertas cadangan yang dipersetujui tersebut akan dikemukakan kepada Kabinet untuk disahkan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyenaraikan tiga negeri termiskin iaitu Kelantan, Perlis dan Kedah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!