Jawatankuasa khas perhalusi piagam UMNO-Pas
KUALA LUMPUR - Satu jawatankuasa perunding dan teknikal ditubuhkan UMNO dan Pas akan bertanggungjawab memperhalusi piagam yang dimeterai bersama oleh dua parti itu sebelum mengumumkan satu keputusan digambarkan lebih besar.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perjanjian persefahaman melalui piagam itu juga akan diperincikan bersama.
“Insya-ALLAH, kepimpinan kedua-dua parti apabila tiba masanya kelak akan mengumumkan sesuatu bentuk yang secara rasmi sebagai sebuah harakah politik,” katanya pada sidang media selepas acara kemuncak memeterai Piagam UMNO-Pas sempena Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Ditanya sama ada piagam berkenaan menuju ke arah pembentukan satu parti, beliau bagaimanapun menjelaskan, ia masih terlalu awal untuk disebut.
Dalam masa sama, Dr Ahmad Zahid memberi keyakinan dan jaminan bahawa kerjasama Pas dengan UMNO lebih mudah berbanding kerjasama yang pernah dibuat dengan parti lain sebelum ini terutamanya DAP.
“Pas dan UMNO berkongsi falsafah yang sama. Kami juga bekerjasama dalam isu-isu nasional,” katanya.
Ditanya mengenai persetujuan MIC dan MCA mengenai kerjasama berkenaan, beliau berkata, perkara itu telah dibincangkan dan setakat ini tiada sebarang bantahan diterima.
“Perkara ini akan dinyatakan secara rasmi dalam mesyuarat Barisan Nasional dalam masa terdekat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!