'Tak pernah tengok lautan manusia seramai ini di PWTC'
KUALA LUMPUR - Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dipenuhi lautan manusia yang hadir dari seluruh pelusuk tanah air bagi menyaksikan detik bersejarah pemeteraian piagam kerjasama UMNO-Pas hari ini.
Pemerhatian Sinar Harian mendapati ribuan ahli kedua-dua parti seawal pagi sudah mula bersesak-sesak menuju ke PWTC.
Menjelang tengah hari ini sama ada di luar dan di dalam PWCT, di segenap penjuru dan tingkat di bangunan itu dipenuhi hadirin hinggakan ia menyukarkan gerak jalan orang ramai.
"Saya tidak pernah melihat manusia seramai ini, ramai sangat.
"Sungguh ini permulaan penyatuan dua parti untuk terus mara ke hadapan," kata Ahmad Ismail, 35, kepada Sinar Harian.
Lautan manusia kebanyakan yang hadir mengenakan pakaian berwarna putih merubah suasana PWTC yang sebelum ini sinonim dengan warna merah.
Suasana tenang umumnya meskipun keadaan amat sesak dan di sana sini kedengaran hiruk pikuk suara hadirin.
Hadirin penuh bersemangat tatkala pemimpin kedua-dua parti mula memberi ucapan, laungan takbir bergema setiap kali nama pemimpin dipanggil untuk berucap.
Sementara itu, menurut Nurul Hidayah Ahmad, 42, dia tidak menyangka lautan manusia seramai ini kerana sepanjang dia mengikuti Perhimpunan Agung UMNO (PAU), manusia tidak seramai ini.
"Masya ALLAH ramainya manusia, saya sangat terharu...sebak sangat ini buat pertama kali Pas-UMNO berkumpul bersama di bangunan bersejarah ini," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Piagam Muafakat Nasional garis enam hasrat utama
UMNO-Pas hari ini memeterai perjanjian kerjasama bersama dikenali sebagai Piagam Muafakat Nasional.
Majlis menandatangani piagam ini disempurnakan oleh kedua-dua presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Merdeka, PWTC di sini.
Piagam berkenaan adalah satu dokumen terperinci menggariskan prinsip asas kerjasama, rasional, struktur dan modus operandi kerjasama dirangka menerusi Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Teknikal, yang masing-masing dianggotai 11 dan lima pemimpin bagi setiap parti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!