Tingkatkan pemilikan Rumah Selangorku: Amirudin

Penerima kunci bergambar bersama Amirudin selepas majlis berkenaan yang berlangsung di Bandar Seri Coalfields hari ini. - Foto: Ihsan Pejabat Menteri Besar
Penerima kunci bergambar bersama Amirudin selepas majlis berkenaan yang berlangsung di Bandar Seri Coalfields hari ini. - Foto: Ihsan Pejabat Menteri Besar
A
A
A

SUNGAI BULOH - Kerajaan Selangor memperuntukkan RM50 juta bagi membantu meningkatkan pemilikan rumah mampu milik di samping membolehkan golongan B40 memiliki kediaman Rumah Selangorku menerusi pembiayaan Skim Smart Sewa.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, peruntukan dana tersebut kerana kerajaan negeri menyedari terdapat penolakan tawaran Rumah Selangorku terutama bagi pemohon yang gagal mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan kerana tidak memenuhi syarat ditetapkan.

Beliau berkata, sebanyak 341 unit rumah pada masa ini telah disewakan dengan kadar bermula daripada RM450 sebulan sehingga RM700 sebulan.

"Sebanyak 101 unit telah disiapkan pada awal tahun ini dan bakal disewakan dalam masa terdekat, manakala sebanyak 541 unit dijangka dapat disiapkan pada pertengahan tahun ini hingga awal tahun hadapan," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Projek Pembangunan Hibiscus 3 di sini hari ini.

Beliau berkata, sehingga Mac tahun ini hampir 50,000 tawaran bagi Rumah Selangorku telah diluluskan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), namun terdapat kira-kira 35 peratus daripadanya berdepan masalah pembiayaan pinjaman daripada institusi kewangan ekoran beberapa isu antaranya tunggakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan kad kredit.

Menurutnya, kelompok ini tidak seharusnya ketinggalan untuk mendapatkan kediaman kerana mereka merupakan kumpulan yang disasarkan sebagai benefisiari perumahan mampu milik yang dibangunkan kerajaan Selangor.

Amirudin (dua dari kiri) membuat gimik pelancaran sewaktu Majlis Penyerahan Kunci Projek Pembangunan Hibiscus 3 di Sungai Buloh hari ini. - Foto: Ihsan Pejabat Menteri Besar
Amirudin (dua dari kiri) membuat gimik pelancaran sewaktu Majlis Penyerahan Kunci Projek Pembangunan Hibiscus 3 di Sungai Buloh hari ini. - Foto: Ihsan Pejabat Menteri Besar

Artikel Berkaitan:

"Disebabkan masalah seperti ini dan kos sara hidup yang semakin meningkat, permintaan terhadap rumah mampu milik sentiasa didengari daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) juga sedang merangka rancangan pembangunan menyeluruh untuk membina rumah mampu milik di seluruh kawasan milik RAC di Selangor.

Katanya, MBI Selangor dan RAC akan bekerjasama dalam membangunkan aset-aset ini yang memberi tumpuan kepada pembangunan berorientasikan transit (TOD) termasuk rumah mampu milik.

"Langkah ini adalah bertujuan untuk membina komuniti mampan di mana pembangunan tersebut akan menyediakan kawasan perumahan yang sesuai dan mampu dimiliki.

"Di samping itu, ia juga perlu menyediakan jaringan hubungan yang baik dan pada masa sama, turut meningkatkan ekonomi di sekitar pusat TOD serta komuniti sekitar," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!