Segerakan kawasan, tempat tinggal baharu: Agong
KUANTAN - Kerajaan Pusat dan kerajaan Pahang harus mencari tapak dan menyegerakan rumah baharu kepada mangsa kebakaran di pekan Sungai Lembing di sini, 31 Ogos lalu.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, tempat tinggal asal mangsa merupakan kawasan lama dan usang yang berusia hampir 120 tahun.
"Saya berharap agar mangsa kebakaran mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa supaya dapat mencari tempat alternatif untuk dijadikan tempat tinggal kerana tempat tinggal mereka yang terbakar sudah lama dan berbahaya untuk dijadikan kediaman.
"Saya dimaklumkan ramai mangsa yang telah menetap di rumah sendiri dan hanya beberapa sahaja yang tidak ada rumah lagi dan saya berharap pihak kerajaan negeri dan Pusat serta agensi kerajaan dapat membantu mangsa yang amat memerlukan," baginda bertitah demikian ketika mencemar duli melawat mangsa kebakaran di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Sungai Lembing di sini hari ini.
Baginda meluangkan masa ke program tersebut ditemani Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Turut mengiringi sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah mengucapkan takziah kepada mangsa kebakaran yang turut mengorbankan dua nyawa.
“Saya meminta semua mangsa yang terbabit dalam kejadian ini bersabar dan bersimpati dengan keluarga yang telah kehilangan keluarga dalam kejadian kebakaran tersebut.
"Diharap juga semua pihak selain agensi kerajaan dapat tampil membantu pihak yang memerlukan pertolongan. Saya akan awasi dari segi tindakan susulan," titahnya.
Baginda meluangkan masa kira-kira 1 jam bersama mangsa kebakaran dan turut berkenaan mengurniakan sumbangan kepada 32 keluarga yang terlibat dalam kebakaran tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!