Pensyarah UiTM ditemukan mati

Mayat Allahyarham ditemukan dalam keadaan terbaring di bilik.
Mayat Allahyarham ditemukan dalam keadaan terbaring di bilik.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban 3 di sini ditemukan mati dalam bilik di rumah sewanya di Suriaman 3, Bandar Sri Sendayan dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, mayat Pensyarah Sains Politik, Badrul Azmier Mohamed@Bakar, 43, itu ditemukan kira-kira jam 6.30 petang selepas jirannya membuat laporan polis selepas terhidu bau busuk dari rumah lelaki berkenaan.

Katanya, Azmier yang tinggal berseorangan itu dipercayai meninggal dunia lebih dua hari berdasarkan keadaan mayat yang telah mereput.

"Kita menerima panggilan telefon daripada salah seorang jiran yang memberitahu terdapat bau busuk dari arah rumah sebelah mereka.

"Setibanya di lokasi mendapati keadaan pintu rumah itu terkunci rapi dari arah dalam dan setelah beberapa panggilan tidak dijawab maka kita meminta bantuan pengawal keselamatan.

"Polis kemudian meminta pengawal keselamatan kawasan perumahan tersebut menghubungi waris pensyarah itu untuk membuka pintu rumah berkenaan," katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, sebaik pihak polis memasuki rumah tersebut, pihaknya menemukan mayat pensyarah yang belum berkahwin itu terbaring di atas katil dalam sebuah bilik dengan hanya berseluar.

Mayat tersebut kemudiannya dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) di sini untuk bedah siasat.

Artikel Berkaitan:

Kata Mohd Said, siasatan polis dan hasil bedah siasat mendapati tiada unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian pensyarah tersebut.

"Mayatnya dituntut oleh ahli keluarganya hari ini untuk dikebumikan di Melaka dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!