Cerita berebut bola gamatkan Reunion Gu-Gu Sireh Valley

Sebahagian Gu-Gu Sireh Valley yang berkumpul dengan kisah nostalgia masing-masing semalam.
Sebahagian Gu-Gu Sireh Valley yang berkumpul dengan kisah nostalgia masing-masing semalam.
A
A
A

KOTA BHARU - Cerita lama, kenakalan di zaman remaja sekitar era 70-an lalu yang berebut bola ketika bermain di padang dipenuhi rumput menggamatkan Reunion Gu-Gu Sireh Valley yang diadakan semalam.

Pertemuan pertama kali secara beramai-ramai anak-anak kelahiran Kampung Sireh setelah hampir 40 tahun tidak berjumpa berlangsung penuh nostalgianya dengan mengenangkan pelbagai kisah suka dan duka mereka.

Apa tidaknya keadaan berubah menjadi riuh apabila ada di antara mereka yang mengimbau cerita dulu-dulu semasa ‘melarikan’ bola, masing-masing bersorak dan ternyata semuanya masih segar dalam ingatan.

Masing-masing mula menyindir dan ada yang menepuk bahu rakan-rakan lama tetapi sebenarnya itulah yang membuatkan mereka hilang kekoknya memandangkan sudah berpuluh-puluh tahun tidak bertemu.

Ahli jawatankuasa program, Che Hussen Omar berkata, apabila diingatkan semula gelagat dengan memakai jersi dicelup di dalam pewarna batik dan nombor pula menggunakan cat, ia terlalu seronok untuk diceritakan kepada generasi baharu Kampung Sireh.

“Semua ini untuk memberikan gambaran kepada semua betapa bersyukurnya nikmat keamanan dan perpaduan yang dinikmati sekarang dan seharusnya generasi baharu Kampung Sireh dapat mengenangkannya. Hidup bersatu hati,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Che Hussen yang juga bekas Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang berkata, idea asal untuk menghimpunkan Gu-Gu Lembah Sireh itu dicetuskan oleh Datuk Seri Wan Mohamad Zuki Mohamad yang merupakan bekas Ketua Pengarah Risda.

“Kita bersyukur kerana menerusi WhatsApp, kita hanya mengambil masa sebulan untuk mengumpulkan rakan-rakan sekampung dan hari ini (semalam) kita boleh duduk semeja lagi.

Artikel Berkaitan:

“Kami sangat teruja diberikan peluang untuk bertemu meskipun dapat mengumpulkan hampir 50 orang sahaja hari ini. Ini dikira satu rahmat dan kejayaan untuk semua,” katanya.

Perjumpaan secara santai tidak mengira latar belakang kerjaya itu diputuskan untuk diadakan di sebuah restoran yang terletak di kawasan asal-usul mereka supaya ia lebih dekat dengan jiwa.

Pada majlis itu juga, rakan-rakan lama yang meninggal dunia tidak dilupakan dengan membaca al-Fatihah.

Berikutan kejayaan pada perjumpaan pertama itu, pihaknya merancang bakal mengadakan pertemuan seterusnya di Lembah Klang pada masa terdekat memandangkan ramai yang berada di luar Kelantan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!