Sokong penggunaan semua produk Malaysia

Halim - Foto MTUC
Halim - Foto MTUC
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyeru rakyat Malaysia untuk menyokong pembelian semua produk buatan tempatan kerana ia akan merangsang aktiviti penggunaan, menjana peluang pekerjaan, menyemai keyakinan pelabur dan menyokong pertumbuhan ekonomi.

Presiden MTUC, Datuk Halim Mansor berkata, kesatuan itu menyokong usaha untuk menggalakkan penggunaan produk halal oleh umat Islam kerana ia adalah selari dengan prinsip Islam dan rakyat Malaysia untuk memberi tumpuan terhadap produk bumiputera.

"Bagaimanapun, tidak wajar untuk mengenepikan produk tempatan yang lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini sebagai respons kepada seruan boikot produk oleh pihak tertentu ke atas produk orang bukan Islam.

Peningkatan pembelian ke atas barangan Malaysia akan menyokong perkembangan ekonomi negara.

Halim berkata, pemboikotan barangan yang dibuat oleh pihak tertentu hanya akan menjejaskan pekerja dari semua bangsa dan agama.

"Ia juga memberi kesan terhadap pekerja Islam yang hidup semata-mata dengan bekerja untuk perusahaan yang menghasilkan produk yang memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh garis panduan kebangsaan dan agama," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kabinet tolak tindakan boikot barangan bukan Islam

Jangan boikot produk bukan Islam, utama barangan Malaysia: Guan Eng

Artikel Berkaitan:

MTUC menggesa supaya pengguna berhati-hati dengan pihak tertentu yang tidak memikirkan kebajikan pekerja ini dalam mengejar cita-cita politik mereka.

"Kami memperjuangkan nasib kesemua 15 juta pekerja di negara ini tanpa mengira bangsa dan agama kerana mereka adalah nadi bagi sektor industri dan perkhidmatan negara.

"Apa yang mereka perlukan sekarang adalah sokongan untuk mendapatkan gaji yang lebih tinggi, kebajikan yang lebih baik dan persekitaran kerja yang lebih sesuai," katanya.

Menurut Halim, sebarang seruan pemboikotan dengan tujuan kepentingan yang sempit hanya akan memberi kesan terhadap pelaburan asing, mengakibatkan Malaysia menjadi terpencil dalam kalangan para pelabur.

Ini akan memberi kesan langsung terhadap pekerjaan di Malaysia dan masa depan rakyat. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!