Kerajaan tak berhajat hidupkan semula ISA
PUTRAJAYA – Kerajaan tidak berhajat menghidupkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) yang sudah dimansuhkan sejak 2012 kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sebaliknya, Muhyiddin berkata, kerajaan akan menggunakan undang-undang sedia ada bagi mengekalkan keamanan dan keselamatan negara.
Katanya, hasil dapatan sebuah jawatankuasa yang dibentuk mendapati, undang-undang seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) itu penting dan harus dipertahankan walaupun mungkin memerlukan beberapa pindaan kelak.
"Ada yang minta supaya ia diamansuhkan tetapi kita telah tubuhkan jawatankuasa dan dapati walaupun ada keperluan untuk dipinda tetapi undang-undang keselamatan ini masih dianggap penting dan harus dipertahankankan
"Kalau tidak ada pihak anggap negara ini terlalu bebas. Mereka akan buat apa sahaja sehingga mengancam keselamatan negara seperti mereka yang terlibat dalam kumpulan pengganas atau mereka ini terdiri daripada gangster besar. Sudah pasti mereka akan berbuat apa sahaja yang bawa kesan tidak baik kepada rakyat dan negara," katanya yang juga Presiden Bersatu ketika menyampaikan ucapan penangguhan perhimpunan agung tahunan, parti itu, di sini, hari ini.
Menurut Muhyiddin, ada pihak bertanyakan berapa ramai anggota polis dikerah untuk Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu.
"Saya pusing sekeliling, sampai sekarang saya tidak jumpa seorang polis.
"Apa yang penting, tanpa kehadiran pihak berkuasa, perjalanan himpunan ini tetap berjalan dengan lancar dan tidak ada apa-apa berlaku yang mengugat keselamatan. Lebih selamat di bawah PH," katanya.
Malah katanya, demokrasi di negara ini kembali disuburkan dengan beberapa siri himpunan dibenarkan.
"Sebagai contoh Himpunan ICERD dan beberapa himpunan buat anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim kita benarkan.
"Kita pernah berhimpuan dalam Bersih dahulu. Jadi, menjadi kewajipan semua rakyat di negara ini untuk menghormati undang-undang," katanya.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berharap keputusan yang dibuat dalam perhimpunan tersebut disampaikan ke kawasan masing-masing.
"Kita perlu mara dengan menjadikan Bersatu sebagai wadah perjuangan untuk orang Melayu. Kita perlu selamatkan orang Melayu demi perjuangan agama, bangsa dan negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!