55 penduduk ditembak Zionis di sempadan Gaza-Israel
GAZA CITY - Sekurang-kurangnya 55 rakyat Palestin cedera ditembak tentera Zionis semasa bantahan mingguan di sepanjang pagar sempadan Gaza-Israel.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, seramai 29 mangsa terkena peluru hidup dan 26 yang lain cedera akibat ditembak dengan peluru getah.
Selain cedera ditembak, kebanyakan mangsa juga mengalami sesak nafas akibat terhidu gas pemedih mata.
Semalam, beratus-ratus rakyat Palestin mengerumuni lima lokasi berhampiran pagar keselamatan berdekatan Semenanjung Gaza untuk mengambil bahagian dalam protes dikenali sebagai ‘Great March of Return'.
Protes itu telah memasuki minggu ke-74 sejak tercetus pada 30 Mac tahun lalu.
Perhimpunan setiap Jumaat itu bertujuan meningkatkan tekanan kepada Israel supaya melonggarkan sekatan dan kepungan yang dikenakan ke atas Gaza sejak 12 tahun lalu.
Ia juga bertujuan menuntut hak untuk pulang ke kampung halaman dan tanah yang dirampas oleh rejim Zionis pada 1948. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!