PBMNS akui sumbangan Faliq

Abdul Rafi
Abdul Rafi
A
A
A

PERSATUAN Bolasepak Melayu Negeri Sembilan (PBMNS) tidak menafikan sumbangan bekas Timbalan Presidennya, Faliq Firdaus terutamanya dalam persiapan pasukan menghadapi Kejohanan Piala Emas Raja-Raja (PERR) 2019 yang membuka tirainya di Universiti Utara Malaysia (UUM) semalam.

Setiausaha Kehormat PBMNS, Abdul Rafi Abdul Murad berkata, bekas pengurus itu juga telah menjalankan tanggungjawab dengan baik dan menghargai segala sumbangan yang telah diberikan Faliq.

Menurutnya, kontroversi peletakan jawatan Faliq pada 10 September lalu hanyalah salah faham yang bermula di peringkat pengurusan persatuan.

“Faliq telah dilantik sebagai pengurus pasukan bermula Februari lalu dan sepanjang tujuh bulan ini beliau telah memberikan komitmen yang baik dan bertanggungjawab kepada pasukan sepanjang memegang jawatan tersebut.

“PBMNS tidak mahu memanjangkan isu ini kerana diakui memang Faliq mempunyai jasa kepada persatuan. Kini fokus kami adalah untuk membantu pasukan memberikan perhatian kepada perlawanan pertama PERR 2019 Kumpulan C bertemu Kelantan di UUM petang ini,” katanya ketika ditemui di Pusat Sukan UUM.

Abdul Rafi berkata demikian bagi mengulas jawapan Faliq dalam satu akhbar yang menjelaskan tindakan beliau meletakkan jawatan agar PBMNS sama-sama mengambil tanggungjawab menjaga pasukan selain menjaga nama baik persatuan.

Mengulas mengenai perkembangan semasa pasukan Negeri Sembilan, Abdul Rafi menjelaskan kontroversi tersebut tidak menjejaskan persiapan pemain-pemain dan pengurus baharu, Mohd Nazri Abdul Halim juga berjaya menjalankan tugasnya yang baru digalas dengan baik.

Tambah beliau, pasukan tersebut kali terakhir menjulang piala tersebut pada 2015 selepas menewaskan Perlis dengan keputusan 2-1 pada perlawanan akhir.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!