Basikal satukan bekas pelarian dengan lelaki misteri

Bekas pelarian Babakar (kiri) ditemukan semula dengan Egbert yang pernah menghadiahkannya basikal ketika dia berusia lima tahun.
Bekas pelarian Babakar (kiri) ditemukan semula dengan Egbert yang pernah menghadiahkannya basikal ketika dia berusia lima tahun.
A
A
A

USAHA seorang bekas pelarian melancarkan kempen di laman mikro Twitter untuk mengesan lelaki tidak dikenali yang bermurah hati menghadiahkannya basikal ketika dia berusia lima tahun berhasil apabila mereka ditemukan semula di Jerman.

Mevan Babakar, 29, yang tinggal di kem pelarian berhampiran Zwolle di Belanda pada tahun 1990-an memuat naik foto lelaki tersebut dan perkongsiannya di 'retweet' semula lebih 3,000 kali sehingga berjaya menemukan mereka berdua.

Menceritakan detik awal pencariannya, Babakar berkata, dia bermula dengan sekeping gambar lama lelaki misteri itu yang dirakam di kem pelarian.

"Ini adalah Egbert. Dia membantu pelarian sejak tahun 1990-an lagi. Dia sangat gembira bertemu dengan saya. Dia bangga kerana saya membesar menjadi seorang wanita yang kuat dan berani. Kata Egbert, itu adalah harapannya untuk saya sejak saya kecil lagi.

"Egbert ada menanam anggerik. Dia juga mempunyai sebuah keluarga yang bahagia. Menurut Egbert, dia berasakan seperti saya tidak pernah berjauhan dengannya sejak dulu lagi," tulis Babakar di Twitter miliknya.

Menurutnya lagi, Egbert sangat gembira kerana basikal yang pernah dihadiahkan satu masa dahulu menjadi kunci untuk menyatukan mereka semula selepas lebih 20 tahun.

Selain menghadiahkan basikal berwarna merah, Egbert turut menjemput keluarga Babakar menyambut Krismas bersama keluarganya.

"Tindakan kecil boleh mendatangkan kesan yang besar. Kebaikan yang ditunjukkan Egbert dan keluarganya akan terus bersama saya seumur hidup dan ia terus membentuk saya sebagai seorang manusia," kata Babakar.

Artikel Berkaitan:

Pencarian Babakar di internet turut menemukannya dengan Sandra, yang juga pernah bekerja di kem berkenaan.

"Sandra sangat luar biasa. Dia membantu saya menggunakan komputer buat kali pertama. Lihat saya kini bekerja dalam teknologi," ujarnya gembira.

Babakar dan kedua ibu bapanya yang merupakan penduduk Kurdish melarikan diri dari Iraq ke Turki, Azerbaijan, dan Rusia semasa Perang Teluk pertama sebelum menghabiskan masa selama setahun di kem berhampiran Zwolle antara tahun 1994 dan 1995.

Mereka kemudiannya menetap di London di mana Babakar kini bekerja sebagai pengurus teknologi. - BBC

Babakar memuat naik gambar lama Egbert di Twitter yang diambil di kem pelarian sekita tahun 1990-an.
Babakar memuat naik gambar lama Egbert di Twitter yang diambil di kem pelarian sekita tahun 1990-an.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!