Guru meninggal dunia ketika aktiviti 'water rafting'

Gambar hiasan: Gambar kecil: Superintendan Hasron Nazri Hashim
Gambar hiasan: Gambar kecil: Superintendan Hasron Nazri Hashim
A
A
A

GOPENG - Seorang guru lelaki meninggal dunia dipercayai akibat lemas selepas bot dinaiki terbalik ketika mengikuti aktiviti 'water rafting’ di Sungai Jahang di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa Ahmad Khairudin Ayob, 47, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Limbongan, Melaka dihanyutkan arus deras sejauh hampir satu kilometer sebaik 10 minit aktiviti bermula.

Mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan krew keselamatan, namun tidak menunjukkan sebarang respon ketika bantuan pernafasan (CPR) diberikan.

Ketua Polis Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, bot dinaiki mangsa bersama enam yang lain telah melanggar tebing menyebabkannya gagal dikawal sebelum terbalik.

Menurutnya, keadaan air Sungai Jahang ketika kejadian deras disebabkan cuaca hujan sebelum itu.

"Pasukan Perubatan dari Klinik Kesihatan Gopeng yang tiba pada jam 7 malam telah mengesahkan mangsa meninggal dunia.

"Pemeriksaan fizikal ke atas mangsa tidak menemui sebarang unsur-unsur jenayah untuk disabitkan dengan kematian terbabit," katanya.

Beliau berkata, guru berkenaan tiba di sebuah homestay di situ pada jam 3 petang, semalam dengan mengikuti konvoi kereta dan motosikal melibatkan 19 orang termasuk tiga wanita.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sekitar jam 5 petang, 15 peserta konvoi termasuk mangsa mengikuti aktiviti sukan air berkenaan dikendalikan sebuah syarikat rekreasi dengan menggunakan tiga bot.

"Aktiviti itu dijalankan atas permintaan peserta sendiri, langkah-langkah keselamatan sewajarnya seperti pemakaian jaket keselamatan, topi dan taklimat telah dipatuhi sebelum peserta memulakan aktiviti," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!