Keganasan persepsi dalam demokrasi

A
A
A

SAMBUTAN Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong baru- baru ini mengingatkan kita tentang kesan media sosial dalam kehidupan bermasyarakat. Limpahan maklumat dan berita yang diperoleh melalui pelbagai saluran terutamanya melalui media sosial mengundang polemik.

Limpahan maklumat cepat dan mudah untuk diperoleh sehingga kita tidak mampu untuk menapis dan memastikan kesahihannya. Segala berita yang diperoleh tanpa asas kebenaran dan kepastian yang jitu, mewujudkan persepsi kesan negatif.

Kita disuakan dengan fenomena baharu dikenali sebagai 'keganasan persepsi'. Pelbagai persepsi yang dicetuskan dan dimainkan oleh individu dan pihak tertentu mengenai sesuatu isu disebar atau ditularkan begitu pantas melalui media sosial. Kecenderungan menyebarkan maklumat tanpa usul periksa sangat membimbangkan sehingga boleh menggugat kestabilan, keselamatan dan keharmonian negara.

Keganasan persepsi menimbulkan fitnah, emosi, provokasi, menghasut dan memainkan sentimen keterlaluan terkeluar daripada ruang lingkup pemikiran yang waras dan rasional. Keganasan persepsi secara sengaja juga bertujuan melakukan pembunuhan karakter seseorang ahli politik atau individu tertentu.

Pembunuhan karakter terhadap individu, terutamanya pemimpin dan ahli politik boleh menyebabkan ketidakstabilan, huru-hara dan perpecahan dalam masyarakat. Situasi ini berlaku apabila pemimpin negara dilemparkan dengan pelbagai tuduhan yang tidak berasas. Ia terus dimanipulasikan di media sosial walaupun penjelasan atau pencerahan dibuat dan pelbagai bukti dikemukakan.

Keganasan persepsi mendominasi media sosial kita kerana masyarakat kita masih lagi kuat bermain dengan emosi, manakala elemen pemikiran rasional masih di tahap rendah. Masyarakat lebih cenderung kepada perkara sensasi berasaskan maklumat yang tidak sahih.

Nilai murni

Bagi mengelakkan daripada keadaan menjadi lebih gawat maka sistem pendidikan kita haruslah menjurus ke arah melahirkan anak muda yang memiliki tahap pemikiran rasional yang tinggi serta menjadi insan yang mengamalkan nilai-nilai murni sebagai cara kehidupan.

Sehubungan itu, kempen untuk mempromosikan nilai-nilai murni perlu bagi memastikan ia diamalkan dalam kehidupan seharian. Kempen sebegini perlu bermula dari rumah dan sekolah.

Artikel Berkaitan:

Pendidikan Moral di sekolah perlu diperkukuhkan dengan penekanan terhadap kepentingan pembelajaran dan pengamalan 36 nilai-nilai murni di sekolah. Bukan sekadar menghafal 36 nilai-nilai murni hanya untuk lulus subjek Pendidikan Moral. Namun yang lebih penting nilai ini menyerap sebagai amalan seharian.

Malahan, kempen untuk memupuk kesedaran awam mengenai nilai-nilai murni ini sangat penting kerana anak-anak muda sudah mula melupakannya.

Dalam situasi ini, masyarakat mestilah sentiasa menilai dengan adil dan teliti apa jua maklumat yang disebarkan melalui media sosial. Jangan terus disebarkan yang tidak pasti kesahihan dan sumbernya sebaliknya perlu mengamalkan sikap tabayyun iaitu sikap berhati-hati.

Sikap tabayyun ini adalah berlandaskan kepada ayat al-Quran yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang yang fasik membawa suatu berita, maka selidiklah (tabayyun) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah pada suatu kaum dengan sebab kejahilan kamu sehingga menjadikan menyesal atas apa yang kamu lakukan.” (al-Hujurat 49: 6)

Masyarakat perlu berhati-hati dalam menerima maklumat dan menyebarkannya. Ini kerana keganasan persepsi yang tidak diuruskan dengan cara Islam boleh menghancurkan masyarakat. Oleh itu, maklumat yang benar, tepat dan sahih dapat menjadikan kita sebagai seorang yang mampu untuk menilai, berfikir dan yang paling utama adalah bertindak di atas asas kebenaran yang kukuh dan menepati kehendak umum.

Perselisihan yang berlaku akibat daripada kekaburan maklumat atau berita yang diperoleh menjadikan seluruh masyarakat hidup dalam keadaan sentiasa syak wasangka.

Justeru dalam berhadapan dengan zaman fitnah dengan bantuan teknologi maklumat begitu canggih masa kini, umat seharusnya lebih berhati-hati.

Oleh itu, penekanan kepada semangat untuk mencari dan menyampaikan kebenaran perlu ditekankan dan diteruskan.

Perlunya kita memahami realiti berita dan cara mendapatkan maklumat agar tidak tersalah atau menyimpang daripada asas kebenaran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!