MAHAR kembali sahut cabaran Patriot 200 edisi 2019
PASUKAN pelari Malaysian Humanitarian Aid And Relief (MAHAR) kembali menyahut cabaran pada Ultra Marathon Patriot 200 (Patriot 200) siri kelima setelah tidak mengambil bahagian pada siri keempat.
Menurut Pengerusi MAHAR, Jismi Johari, kemunculan kembali mereka pada siri kelima ini juga mendapat suntikan semangat Prestige Sports Sdn Bhd pengedar barangan sukan dan rekreasi Asics, Canterbury, Lotto dan Teva di negara ini.
“Pasukan pelari MAHAR akan membuat sedikit kelainan tahun ini. Mereka akan menghabiskan larian 100 kilometer seorang dengan memakai sandal Teva.
"Selain empat pelari MAHAR, Prestige Sports turut menaja enam lagi kru sokongan dengan produk berjenama Lotto dan Asics, dengan nilai tajaan berjumlah lebih RM5,000.00.
'Kami berterima kasih kepada Prestige Sports atas sokongan mereka setiap kali kami mengambil bahagian di dalam acara ini,” tambah Jismi.
Patriot 200 anjuran Team Pacat berjaya menarik 32 pelari marathon ultra menyahut cabaran Patriot200 akan bermula dari Simpang Ampat dan berakhir di Batu Maung.
Peserta boleh memilih berlari secara solo, duo (dua peserta dalam satu pasukan) atau kategori trio (tiga pelari sepasukan).
Peserta dijadualkan memulakan larian pada jam 2 pagi 14 September dan menamatkan larian di Batu Maung selewat-lewatnya jam 7 malam keesokannya
Sementara itu, Pengurus Pemasaran Prestige Sports, Eszeren Rizal memaklumkan sumbangan itu sebagai tanda sokongan kepada promosi gaya hidup sihat dan sokongan kepada pasukan MAHAR.
“Kami berharap sumbangan ini akan memberikan membarakan semangat peserta-peserta ini untuk menghabiskan larian dengan jayanya,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!