PDRM giat perangi dadah di Kelantan

HASANUDIN HASSAN
HASANUDIN HASSAN
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan terus komited melancarkan misi Jihad Perangi Dadah walaupun negeri ini dilabelkan sebagai lokasi transit bekalan haram itu oleh segelintir pihak.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanudin Hassan berkata, pendedahan mengenai kejayaan demi kejayaan polis dalam rampasan dadah yang mencecah puluhan juta ringgit berkemungkinan menjadi antara penyebab Kelantan dianggap sedemikian.

“Apabila polis buat kerja dan nampak banyak dadah yang dirampas maka akan ada pandangan positif atau negatif. Melabel Kelantan sebagai transit dadah, saya tidak menafikan perkara itu bagaimanapun penguatkuasaan akan tetap diteruskan tanpa kompromi.

“Kami akan tetap fokus dan komited dengan tugas memerangi dadah serta terbukti dengan peningkatan sebanyak RM28 juta rampasan dadah tahun ini berbanding tahun lalu,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat yang mendakwa Kelantan menjadi lokasi transit untuk bekalan dadah terutamanya pil kuda sebelum dihantar ke negeri lain.

Hasanudin berkata, terserah jika mahu melabelkan atau memberikan maklum balas berhubung keadaan dadah di negeri ini, namun pihaknya sama sekali tidak akan memberikan ruang dan peluang kepada kegiatan pengedaran serta penyalahgunaan dadah.

“Dalam menjalankan tugas polis biasanya akan segera bertindak sebaik menerima maklumat kerana selalunya dadah ada kaitan dengan kegiatan jenayah dan pemilikan senjata api. Setiap kerja mustahil tiada kekangan namun kami akan atasi segala permasalahan yang timbul dengan sebaiknya.

“Usaha memerangi dadah ini juga memerlukan kerjasama orang ramai khususnya rakyat Kelantan supaya dapat bersama-sama membantu pihak berkuasa dalam membanteras jenayah dadah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Kelantan yang bersempadan dengan negara jiran menjadi faktor dadah diseludup ke negeri ini melalui jalan air, darat dan udara menggunakan pelbagai modus operandi penyeludupan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!