Lebih 3,800 mahasiswa terima manfaat Food Bank Siswa
ALOR SETAR - Lebih 3,800 mahasiswa universiti awam di seluruh negara menerima manfaat program Food Bank Siswa yang dilancarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sehingga Julai lalu.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, manakala jumlah penerima isi rumah keseluruhan sehingga Ogos lalu mencecah 311,189 orang.
Menurutnya, program itu berjaya menyelamatkan sebanyak 1,700 tan metrik lebihan makanan yang diagihkan kepada golongan sasaran.
“Program Food Bank Siswa diadakan berterusan bukan bersifat sementara atau hanya dijalankan sekali sahaja. Universiti Utara Malaysia (UUM) adalah universiti ke-13 yang melancarkan program ini dan kita bercadang memperluaskannya kepada 20 universiti menjelang hujung tahun ini,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Food Bank Siswa di UUM hari ini.
Majlis pelancaran disempurnakan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Saifuddin berkata, susulan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) 15 Februari lalu, kerajaan membuat keputusan meluaskan program Food Bank ke seluruh institusi pengajian tinggi.
“Antara cadangan kita ialah menyasarkan 123 institusi pengajian termasuk kolej komuniti, politeknik dan Institut Pendidikan Guru (IPG) tahun depan,” katanya.
Menurutnya, usaha ini merupakan inisiatif membantu mahasiswa yang memerlukan selain menangani kos sara hidup.
Saifuddin berkata, kementerian melalui Yayasan Food Bank Malaysia mengambil inisiatif menghubungkan pihak industri terlibat seperti pasar raya dan pengeluar produk makanan, restoran serta hotel dengan penggerak terlibat dalam membantu menyalurkan bantuan makanan kepada universiti.
“Bagi melancarkan agihan, dua kaedah digunakan iaitu Food Pantry yang menyimpan makanan kering di sebuah bilik dan diuruskan Persatuan Mahasiswa selain Central Kitchen iaitu sumbangan makanan yang boleh dimasak seperti sayuran dan buah-buahan kepada mahasiswa yang layak,” katanya.
Menurutnya, kementerian turut menggalakkan kerjasama mahasiswa terutama persatuan mereka melaksanakan Food Bank Siswa.
“Sebagai permulaan, seramai 300 mahasiswa UUM layak menerima bantuan daripada program ini. Kita juga mempelawa mana-mana syarikat untuk menyumbang sama ada wang, barangan atau sukarelawan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!