Jerebu: Pendapatan peniaga terjejas

Gambar yang dirakam pada 12 tengah hari tadi di Pasar Mingguan Sabindo memperlihatkan keadaan jerebu di bandar Tawau. Foto: Bernama
Gambar yang dirakam pada 12 tengah hari tadi di Pasar Mingguan Sabindo memperlihatkan keadaan jerebu di bandar Tawau. Foto: Bernama
A
A
A

TAWAU - Peniaga di Tamu Ahad Sabindo (TAS) di sini melahirkan kerisauan dengan keadaan jerebu di kawasan itu dan berharap fenomena itu segera berakhir.

Seorang peniaga buah-buahan dan sayur-sayuran yang mahu dikenali sebagai Rakmah, 44, berkata, keadaan jerebu menyebabkan pengunjung tamu hujung minggu itu semakin berkurangan.

"Pengunjung pun kurang secara tidak langsung pendapatan pun kurang bukan untuk saya saja tetapi juga peniaga lain," katanya.

Seorang peniaga makanan yang hanya ingin dikenali sebagai Abdul Nassir, 50, turut berharap keadaan jerebu itu segera pulih memandangkan ia bukan sahaja mengganggu kesihatan tetapi turut menjejaskan jualan.

"Sejak tamu ini pindah (sebelum di Jalan Takada) ke Sabindo setiap Ahad dari pagi sampai petang pengunjung penuh tapi hari ini kedatangan pengunjung hambar, mungkin cuaca buruk orang ramai tidak keluar rumah," katanya.

TAS yang beroperasi pada setiap Ahad menempatkan lebih 700 gerai jualan yang menjadi tarikan di bandar Tawau.

Portal Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Tawau setakat 4 petang semalam meningkat kepada 123 berbanding 105 pada 10 pagi semalam.

Sementara itu, kualiti udara di kawasan lain di Sabah pada tahap sederhana dengan bacaan IPU di Kota Kinabalu adalah 79, Keningau (85), Kimanis (87), Labuan (94) dan Sandakan (94). - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!