'Kerjasama UMNO-Pas longgar, tidak sekukuh gabungan PH'


SAIFUDDIN NASUTION
SAIFUDDIN NASUTION
A
A
A

SINTOK- Penyatuan politik antara UMNO dan Pas disifatkan sebagai suatu kerjasama longgar namun positif ke arah membentuk sistem dua parti dalam negara iaitu antara Pakatan Harapan (PH) dan penyatuan UMNO-Pas.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, politik negara bakal dihidangkan dengan persaingan dasar antara PH dan UMNO-Pas dalam pelbagai aspek berbanding menyajikan rakyat dengan isu perkauman yang tidak sihat.

Menurutnya, sekiranya penyatuan itu merupakan permulaan ke arah sistem dua parti selain memberi peluang kepada rakyat menilai gabungan parti politik berasaskan dasar, ia menuju ke era kematangan politik dalam negara.

“Aspek positifnya ialah ia baik untuk negara kita ke arah sistem dua parti gabungan. Mereka akan ambil satu identiti dan imej tersendiri. Namun model kerjasama itu kita tidak tahu. Ia bukan gabungan cuma satu bentuk persefahaman,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Food Bank Siswa di Universiti Utara Malaysia (UUM) yang disempurnakan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di sini hari ini.

Saifuddin berkata, kerjasama UMNO-Pas tidak sekukuh gabungan PH yang memiliki struktur serta penyertaan semua parti dalam pembentukan kerajaan.

“Model alternatif itu masih longgar dari aspek penyatuan dan bentuk kerjasamanya. Sejarah Pas menunjukkan parti itu pernah sertai BN dan berpisah, kemudian bersama Angkatan Perpaduan Ummah dan juga pernah sertai Barisan Alternatif namun turut berpisah termasuk meninggalkan Pakatan Rakyat.

“Pas boleh bersama pihak lain tetapi akhirnya tinggalkan gabungan. Rekod Pas itu akan dinilai dalam kerjasama baharu ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!