UMNO-Pas bergabung bukan hanya kerana PRU15

Mohammad Tawfik (kanan) ditemubual ketika sesi Sinar Live bertajuk ‘Piagam UMNO-Pas Hanya Untuk PRU15 Atau…’ di Facebook Sinar Harian sebentar tadi.
Mohammad Tawfik (kanan) ditemubual ketika sesi Sinar Live bertajuk ‘Piagam UMNO-Pas Hanya Untuk PRU15 Atau…’ di Facebook Sinar Harian sebentar tadi.
A
A
A

SHAH ALAM - [VIDEO] Penyatuan antara UMNO dan Pas tidak menyasarkan untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semata-mata.

Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, sekiranya dua parti Melayu terbesar itu ingin menumpukan kemenangan dalam PRU15 adalah lebih baik kerjasama itu dimeterai dua atau tiga tahun akan datang iaitu ketika pilihan raya benar-benar hampir dilaksanakan.

Beliau berpendapat, UMNO dan Pas meletakkan keutamaan untuk memperjuangkan Islam dan Melayu secara berterusan serta bukan hanya berpaksikan kepada kemenangan dalam PRU15.

“Sebab itu saya yakin apabila UMNO dan Pas memilih 14 September, tempoh yang agak awal selepas PRU14. Saya fikir ia adalah untuk memenangi hati orang Melayu dan Islam, bukan semata-mata untuk PRU15.

“Belum terlambat untuk kedua-dua parti mencetuskan gerakan membangunkan orang Melayu dan Islam dalam aspek perpaduan,” katanya ketika sesi Sinar Live bertajuk ‘Piagam UMNO-Pas Hanya Untuk PRU15 Atau...’ di Facebook Sinar Harian sebentar tadi.

Mengulas mengenai isu pembahagian kerusi, Mohammad Tawfik berkata, UMNO dan Pas perlu memperlihatkan ‘jiwa besar’ dalam memastikan ia dilaksanakan dengan sebaiknya.

“Kalau ada pertindihan, ia akan mewujudkan dan mengundang keadaan yang lemah kepada kedua-dua parti. Kalau kita lihat, kerusi direbut UMNO dan Pas majoritinya kawasan Melayu.

“Ada beberapa kerusi perlu diberikan pertimbangan serius. Kedua-dua parti perlu lebih fokus kepada kawasan luar bandar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengulas mengenai pengaruh golongan muda dalam pilihan raya, beliau berasakan sekiranya isu mereka tidak ditangani dengan baik, parti yang berjanji pelbagai perkara akan menghadapi masalah besar.

“Parti yang boleh dikatakan, boleh dianggap sebagai penyelamat anak muda mampu menggantikan pemerintah sedia ada kerana aspirasi anak muda ini, mereka mencari-cari hala tujuan.

“Jika satu parti pemerintah itu gagal, maka mereka akan beralih kepada parti baharu. Itu yang kita lihat pada anak muda hari ini, lebih-lebih lagi mereka yang atas pagar dan mereka yang baru mendaftar sebagai pengundi,” katanya.

Mohammad Tawfik berkata, keadaan itu tidak harus dilihat sebagai ancaman, sebaliknya parti politik perlu menyusun langkah dengan berhati-hati kerana golongan muda menentukan masa depan negara.

[LIVE]: Piagam UMNO-Pas Hanya Untuk PRU15 Atau... #HPU914 #PerpaduanUmmah #SinarHarian #SinarTV

[LIVE]: Piagam UMNO-Pas Hanya Untuk PRU15 Atau... Sokong kami demi berita telus, tulus dan berkualiti. Klik di sini: bit.ly/sokongberitakami #HPU914 #PerpaduanUmmah #SinarHarian #SinarTV

Posted by Sinar Harian on Sunday, September 15, 2019

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!