Penuntut kolej vokasional maut kemalangan
KLUANG - Seorang pelajar wanita Kolej Vokasional (KV) Rembau, Negeri Sembilan maut selepas kenderaan dinaikinya terlibat dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 82, Jalan Kota Tinggi-Kluang, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata mangsa, Nursyauqina Effendi, 19, mengalami kecederaan parah dalam kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 2 petang tadi dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom, di sini untuk bedah siasat, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata kemalangan itu juga menyebabkan sembilan mangsa yang lain dihantar ke hospital yang sama untuk dirawat.
Siasatan awal pihaknya mendapati kereta yang dinaiki mangsa dari arah Kota Tinggi menuju ke Bandar Kluang bertembung dengan sebuah pacuan empat roda dari arah bertentangan yang memasuki laluan kereta terbabit, kata Mohd Abduh.
"Dua buah lagi kenderaan yang dari arah sama dengan mangsa turut tidak sempat memberhentikan kereta menyebabkan berlaku rempuhan,” katanya lagi.
Menurut bapa mangsa, Effendi Ariffin, Nursyauqina pulang ke rumahnya di Taman Seri Permai, dekat sini, Jumaat lepas.
Katanya, arwah yang juga pelajar tahun akhir kolej itu keluar untuk bertemu rakan-rakannya kira-kira pukul 12 tengah hari tadi, sebelum dia dimaklumkan berita kemalangan anak sulungnya itu.
“Saya menerima perkhabaran berkenaan ketika sedang berehat di rumah dan tidak menyangka kepulangan Along (mangsa) kali ini adalah pertemuan kami untuk kali yang terakhir,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Effendi juga berkata ketika mereka sekeluarga bertemu arwah sebulan yang lalu, tiada sebarang petanda pelik dirasai mereka. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!