Firmino pengacau pertahanan lawan
BINTANG Liverpool, Roberto Firmino akan menjadi mimpi ngeri kepada setiap pemain pasukan lawan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas cemerlang membantu The Reds mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Newcastle United, di Anfield semalam.
Firmino yang masuk sebagai pemain gantian menggantikan Divock Origi pada minit ke-37 tampil cemerlang menekan benteng pertahanan The Magpies selain menyumbang dua bantuan gol.
Pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk mengakui Firmino adalah pemain cukup penting dalam pasukan itu selain mengiktiraf keupayaan pemain Brazil itu yang menjadi nadi penting di bahagian serangan pasukan.
“Dia adalah pemain penting buat kami dalam pasukan ini. Saya tahu betapa sukarnya untuk mengawal seorang penyerang yang berkualiti seperti Firmino dan ia masalah besar buat semua pertahanan di EPL.
“Saya gembira dia berada dalam pasukan ini dan memberikan impak positif kepada pasukan selain dia yang jenis tidak mementingkan diri sendiri. Firmino bukanlah seorang pemain yang sering menjaringkan gol, tetapi dia bertindak sebagai pengacau,” katanya.
Pada aksi itu, The Reds ketinggalan terlebih dahulu melalui Jetro Willems sebelum bangkit dengan dua gol Sadio Mane dan satu gol Mohamed Salah.
Kemenangan itu meneruskan rentak cemerlang Liverpool musim ini.
Kata van Dijk, dia gembira dengan respon yang ditunjukkan pemain Liverpool pada perlawanan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!