Semangat muhibah di Kampung Cina cipta kenangan manis
KUALA TERENGGANU - Melewati Kampung Cina atau lebih dikenali sebagai ‘Chinatown’ yang terletak di pinggir pusat bandar Kuala Terengganu akan membuatkan pengunjung seolah-olah berada dalam drama Cina pada zaman dahulu yang sering ditayangkan di televisyen.
Kebanyakan deretan rumah kedai sepanjang kira-kira tiga kilometer di Jalan Bandar dan berdekatan dengan Sungai Terengganu itu dibina bercirikan kesenian serta kebudayaan kaum Cina, seterusnya menjadikan ia antara destinasi ‘wajib’ dikunjungi oleh pelancong dari dalam dan luar negara.
Di samping memberi memori indah buat pengunjung, Kampung Cina yang dianggar berusia lebih 200 tahun itu turut menghadiahkan 1001 kenangan manis buat penduduknya yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Seorang penduduk yang berasal daripada keluarga India Muslim, Syarifah Mumtaz Mohamad Ali, 32, berkata beliau tidak akan melupakan hubungan rapat keluarganya bersama jiran-jiran yang kebanyakannya berbangsa Cina di kawasan tersebut.
Katanya antara yang paling diingati adalah ketika bapanya Allahyarham Mohamad Ali Mohamad Kassim mengadakan kenduri bersempena pembukaan kedai barangan alat jahitan miliknya di kampung tersebut kira-kira 20 tahun lalu, yang mana jiran-jiran berbangsa Cina turut bergotong-royong menjayakan kenduri itu.
"Masa itu ayah saya buat kenduri di sebuah dewan di kampung ini. Jiran-jiran yang kebanyakannya berbangsa Cina sama-sama tolong kami seperti menyusun kerusi, menghidangkan makanan dan melayan tetamu.
"Kehidupan sangat meriah. Kita tidak rasa pun berada dalam kalangan bangsa lain kerana perhubungan itu sama sahaja, tiada beza. Setiap petang saya bermain dengan kawan-kawan yang berbangsa Cina di lorong ini. Masa itu keluarga Melayu dan India Muslim seperti kami hanya dalam lima hingga 10 keluarga sahaja,” katanya yang mewarisi perniagaan alat jahitan peninggalan arwah ayahnya.
Kini katanya, walaupun kebanyakan rakannya yang berbangsa Cina telah berhijrah ke negeri lain, namun mereka sering bertemu meluangkan masa bersama apabila rakan-rakannya pulang ke kampung terutama pada Tahun Baharu Cina.
Seorang penduduk Chan Wha Chai, 62, berkata pada zaman dahulu kaum wanita masyarakat Cina di kampung tersebut gemar mengenakan kebaya dan kain batik sebagai pakaian harian mereka selain menyanggul rambut menggunakan cucuk sanggul seperti masyarakat Melayu.
"Zaman dahulu memang nenek moyang kami memakai kebaya dan kain batik hari-hari. Mungkin mereka terpengaruh dengan cara pemakaian masyarakat Melayu di Terengganu dan berasa selesa membuat kerja-kerja seharian dengan berkebaya,” kata pemilik sebuah kopitiam di Kampung Cina itu kepada Bernama.
Chan berkata, bagaimanapun, amalan memakai kebaya dan bercucuk sanggul itu kini hilang ditenggelami zaman dan masyarakat Cina terutama golongan muda di kawasan tersebut hanya memakai kebaya pada majlis tertentu sahaja.
Sementara itu, Lim Seng, 98, antara penduduk paling tua di Kampung Cina mengakui gembira apabila melihat menu masakan kaum Cina seperti nasi ayam Hainan turut menjadi kegemaran masyarakat lain.
Lim yang menetap di Kampung Cina sejak 68 tahun lalu itu turut bangga kerana menjadi antara individu pertama yang memperkenalkan nasi ayam Hainan di negeri ini.
"Saya gembira apabila melihat hari ini nasi ayam Hainan turut dijual oleh orang Melayu. Di sini tiada istilah makanan Cina, makanan Melayu atau makanan India. Semua sama sahaja. Semua makanan Malaysia,” katanya sambil tertawa.
Lim menambah walaupun kehidupan di Kampung Cina kini tidak semeriah dahulu namun suasana harmoni dan saling menghormati antara penduduk pelbagai kaum di situ masih dirasai.
"Kita (penduduk) masih hidup dengan baik seperti dahulu. Cuma mungkin generasi baru kini kurang mesra dan rapat seperti sebelum ini. Biasa la orang muda lebih suka buat hal sendiri,” katanya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!