Cadangan menteri yang menakjubkan
A
A
A
Ada beberapa sebab saya berasa takjub dengan saranan itu dan saya fikir rakyat pun akan berasa takjub jika membaca saranan tersebut. Kita tentu sangat takjub melihat kebijaksanaan menteri untuk membantu pemaju perumahan menyelesaikan isu perniagaan. Idea itu tentu luar biasa dan hebat sekali sehingga tidak pernah terfikir oleh pentadbiran sebelum ini.
Adakah anda tidak takjub melihat perubahan pemikiran dan ideologi para menteri hari ini berbanding sebelum menang?
Menteri Pakatan Harapan (PH) dinaikkan dalam pilihan raya lalu dengan janji untuk menurunkan kos sara hidup, harga rumah dan kenderaan. Namun, hari ini mereka menjadi tidak lebih sebagai jurucakap pemaju perumahan, jurucakap pemborong dan peniaga.
Lebih menakjubkan juga mereka ini yang memperli, mencerca dan mengherdik kerajaan pentadbiran Barisan Nasional (BN) kerana dikatakan memberi kelulusan projek Forest City untuk menggadai negara. Untuk rekod, pembangunan Forest City dibuat atas tanah tambakan laut menyebabkan kos meningkat berkali ganda. Justeru, harga unit kediaman terpaksa dijual mahal dan menumpukan kepada pembeli luar negara terutama China.
Maka berkoyan-koyanlah maki-hamun dan adu domba bahawa Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menggadai Malaysia kepada China. Langsung mereka tidak menerangkan kepada rakyat bahawa isu tanah adalah di bawah kuasa negeri, bukannya Persekutuan.
Forest City dibangunkan sebagai kediaman pesisir pantai dan fokus kepada mereka yang mencari rumah kedua untuk percutian serta pelaburan masa depan.
Ia tidak menjejaskan pemili-kan hartanah rakyat tempatan, namun jika Forest City dianggap satu penggadaian kedaulatan negara kepada China, maka saranan menteri supaya hartanah mewah yang tidak terjual (dianggarkan bernilai lebih RM100 bilion) dijual kepada rakyat China dan Hong Kong boleh dianggap sebagai penjualan negara.
Saranan itu bukan lagi membabitkan pembangunan hartanah antarabangsa yang terhad dan terkawal seperti Forest City, sebaliknya ia merupakan penjualan besar-besaran tanpa had dan kawalan kawasan.
Salah satu kempen PH ialah mereka mempunyai idea dan kae-dah lebih baik bagi menyelesaikan isu harga rumah yang di luar kemampuan rakyat.
Namun, sungguh menakjubkan apa yang berlaku hari ini ialah menteri mencadangkan rumah mewah yang tidak dibeli oleh rakyat tempatan dijual kepada rakyat China dan Hong Kong. Khabarnya menteri kasihan kerana harga rumah di Hong Kong terlalu mahal dan berharap mereka boleh memiliki rumah di Malaysia.
Malaysiakini melaporkan Zuraida sebagai berkata: “Adalah lebih murah (bagi warga Hong Kong) membeli rumah di Malaysia berbanding di Hong Kong. Saya pernah pergi ke satu unit apartmen (di Hong Kong), 250 kaki persegi berharga RM3 juta. Saya kata, menteri pun tak mampu (nak beli). ”
Adakah rakyat tidak berasa takjub dengan keprihatinan Zuraida terhadap nasib penduduk Hong Kong?
Tidak mustahil tidak lama lagi banyaklah hartanah di Lembah Klang akan dimiliki oleh rakyat China dan Hong Kong. Tidak mustahil banyak jugalah duit haram akan mengalir masuk ke Malaysia melalui penjualan itu. Jika ia dilaksanakan, maka akan berlaku inflasi dalam sektor hartanah negara. Ia hanya menguntungkan pemaju dan merugikan rakyat bawahan yang terpaksa berhadapan kesan domino penjualan berkenaan.
Lambakan rumah mewah berlaku kerana sikap pemaju yang degil dan mengejar keuntungan berlipat kali ganda. Jika projek mewah itu tidak dapat dijual, biarkan pemaju menanggung kerugian tersebut. Dahulu mereka menentang saranan kerajaan agar membina lebih banyak rumah mampu milik. Mereka mahu cepat kaya untuk membiayai pengajian, percutian dan pemilikan harta di luar negara.
Akibatnya pentadbiran BN ketika itu terpaksa masuk campur bina rumah mampu milik dan rumah kos rendah. Justeru, tiada sebab untuk kerajaan melonggarkan peraturan dan 'menjual' Malaysia atas sebab kasihan kepada pemaju terbabit. Mereka tidak pernah kasihan kepada rakyat Malaysia sebelumnya, mengapa kerajaan pula perlu susah hati?
Banyak lagi perusahaan dan perniagaan yang rugi tetapi tidak pula mendapat perhatian menteri sebegini rupa. Apakah ada udang di sebalik batu sehingga menteri menatang pemaju seperti minyak yang penuh, menyusu kera di hutan dan membiarkan anak di rumah kelaparan?
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!