Selangor beri amaran tegas, larang pembakaran terbuka

Amirudin
Amirudin
A
A
A

KLANG - Kerajaan Selangor memberikan amaran tegas kepada mana-mana pihak termasuk pemilik tanah supaya tidak melakukan pembakaran terbuka.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, pemantauan sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa ke atas beberapa kawasan panas yang menjadi lokasi pembakaran terbuka.

"Pemantauan sememangnya secara giat dijalankan, dan amaran tegas kepada pemilik tanah yang sengaja melakukan pembakaran terbuka ketika jerebu teruk sedang melanda negeri ini.

"Pembakaran terbuka ini dipercayai dilakukan pada waktu malam dan ini menyulitkan pihak bertanggungjawab membuat sebarang tangkapan, namun dalam soal ini sememangnya kita akan ambil tindakan yang tegas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Debat dan Pidato Peringkat Kebangsaan 2019 di sini hari ini.

Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan Johan Setia terus mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak 204.

Laman Web Rasmi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar menunjukkan skala bacaan IPU pada jam kira-kira 2 petang tadi berada pada skala sangat tidak sihat.

Kawasan lain di Selangor mencatatkan IPU tidak sihat sehingga jam 2 petang tadi ialah Kuala Selangor pada skala bacaan 103, Petaling Jaya 150, Klang 150, Banting 155 dan Shah Alam mencatatkan skala bacaan 159 sekitar jam 1 tengah hari tadi.

Artikel Berkaitan:

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!