Cerita hebat Malaysia 2018

A
A
A

PADA era informasi global ini, kejayaan dan pengaruh bukan hanya bergantung kepada idea ‘askar mana yang paling kuat’ tetapi naratif ‘kisah siapa yang paling hebat’.

Strategi ini dikenali sebagai ‘Soft Power’ oleh sarjana politik antarabangsa dan pakar strategi hubungan antarabangsa.

Menutup tirai 2018, mari kita soroti cerita-cerita hebat yang telah mengharumkan nama Malaysia dan meningkatkan pengaruhnya di persada dunia.

Sorotan kisah hebat sepanjang 2018 ini adalah berdasarkan tema-tema seperti kerajaan, kebudayaan, digital, tokoh, pendidikan, perusahaan, sukan, kemanusiaan dan ‘engagement’.

1. Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ke-7 ini telah mengejutkan dunia dengan ‘come back’ dalam arena politik negara. Pemimpin berusia 93 tahun ini merupakan negarawan yang dihormati oleh kawan dan lawannya termasuk pemimpin dunia. Beliau terkenal sebagai pemimpin yang bijak, berfikiran jauh, amat menekankan disiplin dan kesihatan serta tegas dalam kepimpinannya. Beliau juga menerima pengiktirafan ijazah kehormat di banyak universiti luar serta dinobatkan sebagai Persons of the Year oleh ‘The World’s 500 Most Influential Muslims 2019’.

2. DS Anwar Ibrahim - Selepas dibebaskan daripada semua pertuduhan mahkamah, beliau kembali ke dalam arena politik negara dan mengemudi Parti Keadilan Rakyat. Sebelum bertanding di Port Dickson, Anwar menerima rawatan khas di Medipol Hospital, Istanbul serta layanan kehormat daripada Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan. Beliau juga berkesempatan menyampaikan syarahan di Turki, United Kingdom dan beberapa negara luar. Anwar rapat dengan cendekiawan Islam seperti Dr Yusuf Al-Qardawi, Sheikh Taha Jabir Al-Alwani dan ramai lagi.

3. Tarikh keramat 9 Mei mencatatkan sejarah penting dalam politik tanah air apabila berlakunya perubahan kuasa kepada Pakatan Harapan pimpinan Tun Mahathir Mohamad setelah penguasaan Barisan Nasional selama lebih 61 tahun. Peralihan kuasa secara aman tanpa pertumpahan darah telah mengejutkan penganalisis politik antarabangsa dan masyarakat dunia.

4. Harimau Malaya berjaya merangkul naib juara Kejohanan Bolasepak Asean 2018. Kekalahan kepada Vietnam walaupun menyedihkan, persembahan para pemain negara serta penyokong setia ‘Ultras Malaya’ tetap menarik perhatian komuniti Asia Tenggara.

Artikel Berkaitan:

5. Azizulhasni Awang, ‘the Pocket Rocketman’ menjuarai pingat emas dalam perlumbaan akhir acara pecut lelaki lumba basikal Sukan Asia di Jakarta, menamatkan kemarau emas setelah 16 tahun lamanya.

6. Datuk Siti Nurhaliza disenaraikan dalam 500 umat Islam paling berpengaruh di dunia. Turut tersenarai penyanyi Hafiz Hamidun.

7. Cikgu Khairul Anuar dari SMK Taman Universiti 2 menerima anugerah ‘Global Teacher Prize dari Varkey Foundation. Beliau diiktiraf kerana sumbangannya dalam pendidikan Murid Berkeperluan Khas.

8. Prof Jomo Kwame Sundaram menerima anugerah Tokoh Akademik Negara ke-12 kerana sumbangannya dalam bidang ilmu, penjanaan kekayaan negara, memenuhi asprirasi universiti sebagai jentera pembangunan negara dan meningkatkan kualiti kehidupan sejagat. Beliau pernah memegang jawatan tinggi dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi membantu membuat polisi dan analisis ekonomi bagi memacu pembangunan di negara-negara membangun.

9. Malaysia dilantik sebagai ahli Lembaga Eksekutif Unesco.

10. Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) telah mengharumkan nama negara memenangi 14 pingat emas dan 30 pingat perak dalam pertandingan berprestij World Scholars Cup (WSC) di Yale University, Amerika Syarikat.

11. Datuk Dr. Mohd Daud Bakar dinobat sebagai antara lima penasihat syariah terkemuka dunia dan pelopor bidang keusahawan syariah. Pakar kewangan Islam ini bukan hanya memimpin Panel Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, malah khidmatnya turut dimanfaatkan di serata dunia termasuklah London, UAE, Bahrain, Oman, Qatar, Kazakhstan dan banyak negara melalui Amanie Group.

12. Adik Noor Arisya Balqis Mohd Suhale, 9 tahun menerima anugerah Wira Cilik kerana menyelamatkan tiga adiknya akibat kebakaran di Ipoh, Perak.

13. Enam anggota bomba mati lemas ketika operasi mencari dan menyelamatkan remaja di lombong Taman Putra Perdana, Puchong. Izatul Akma Wan Ibrahim, Muhammad Hifdzul Malik Shaari, Mazlan Omarbaki, Adnan Othman, Mohd Fatah Hashim dan Yahya Ali antara wira negara yang telah berkorban nyawa dalam misi tersebut.

14. Muhammad Adib, anggota bomba dan penyelamat telah meninggal dunia dipercayai telah di serang ketika rusuhan kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor. Kematian Allahyarham menggemparkan negara kerana melibatkan serangan fizikal orang awam terhadap pasukan beruniform yang tidak bersalah.

Memasuki gerbang tahun 2019, bagaimanakah pula ‘cerita hebat’ Malaysia bakal menggegarkan dunia?

*Penulis penuntut PhD Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!