Dua beradik selalu pasang siren bomba keliling kampung
KOTA BHARU - Dua beradik berusia 10 dan 11 tahun yang ditahan bagi membantu siasatan insiden kebakaran yang berlaku di Kampung Padang Pohon Tanjong, Tumpat sejak Jun lalu sering dilihat memasang bunyi siren bomba di telefon bimbit mereka sambil berlari mengelilingi kampung.
Seorang penduduk, Ariza Omar, 42, berkata, dia sering melihat gelagat dua beradik lelaki itu.
“Mereka selalu berdua dan bermain-main sekitar kampung. Masa bermain tu, kerap mereka pasang bunyi siren bomba daripada telefon bimbit kepunyaan mereka sambil berlari-lari.
“Biasanya si adik yang bersungguh-sungguh membuat bunyi siren dan kalau tidak pasang bunyi melalui telefon sekali pun mereka akan buat bunyi tersebut guna suara sendiri,” katanya ketika ditemui di Kampung Padang Pohon Tanjung, Tumpat hari ini.
Ibu kepada empat anak berusia antara lima hingga 19 tahun itu antara mangsa kejadian kebakaran kedua yang memusnahkan tiga rumah pada 8 Ogos lalu.
Pembantu kedai makan itu berkata, dia kini menyewa sebuah rumah di Pasir Pekan Hilir, Tumpat.
Sementara itu, seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, dia pernah terbaca perbualan kanak-kanak itu melalui kumpulan WhatApps murid sekolah bercerita tentang bomba.
“Dalam perbualan itu dia bercerita sangat seronok melihat jentera bomba datang dan dapat bermain air dari pili bomba.
“Semasa kejadian kebakaran berlaku pun mereka tidak ke sekolah bagaimanapun kami serahkan kes ini kepada polis untuk menjalankan siasatan,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Dua beradik bakar kampung ditahan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!