Kayuhan basikal klasik meriahkan Hari Malaysia
SEREMBAN - Bersempena sambutan Hari Malaysia pada hari ini pelbagai pihak muncul dengan kreativiti masing-masing untuk menunjukkan semangat patriotisme mereka pada sambutan tahun ini.
Bagi Kelab Basikal Tua Negeri Sembilan, mereka cuba mencipta kelainan dengan mengadakan program kayuhan dengan mengumpul pencinta basikal klasik dari seluruh negara dalam menzahirkan semangat cintakan negara.
Dalam program yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar negeri, Ismail Ahmad, sejumlah 300 basikal klasik pelbagai jenama sekitar tahun 1930-an sehingga 1970-an yang diwarisi dan dimiliki dari generasi ke generasi, dikayuh mengelilingi pekan Labu dekat sini.
Peserta kayuhan yang lengkap berpakaian era sekitar tahun 70-an itu mengayuh basikal klasik mereka sejauh 16 kilometer, bermula dari Dewan Orang Ramai Dato Shahardin, Labu, seterusnya ke Homestay Pelegong dan menuju ke Kampung Kirby.
Presiden kelab berkenaan, Mohd Ariff Biddin berkata, kayuhan itu bertujuan untuk mengembalikan nostalgia kemeriahan menyambut kemerdekaan suatu ketika dahulu kepada generasi muda.
"Selain basikal klasik juga kita mengetengahkan pakaian lama seperti busana pada zaman sebelum kemerdekaan, kita ingin tunjuk pada penduduk kampung bahawa pakaian ini masih ada dan dijaga dengan rapi dalam mengimbau kembali sejarah dahulu," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Beliau berkata, walaupun cuaca jerebu yang melanda negeri ini tidak mematahkan semangat peserta untuk menamatkan kayuhan tersebut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!