Pemandu pacuan empat roda maut bertembung bas ekspres
RANAU - Seorang pemandu kereta pacuan empat roda maut selepas kereta dipandu bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kampung Segindai Jalan Ranau-Sandakan dekat sini malam tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sabah dalam kenyataan di sini hari ini, mangsa dikenali sebagai R Ramesh, 50, maut di tempat kejadian.
Balai Bomba dan Penyelamat Ranau menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 10.22 malam dan menghantar dua jentera yang diketuai oleh Norazly Mohd Nauth bersama empat anggota, menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu berkata, pemandu bas ekspres tersebut turut mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Ranau untuk menerima rawatan.
Bagaimanapun, 41 penumpang bas ekspres itu tidak mengalami sebarang kecederaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!