Bawa masuk warga asing: Pegawai Imigresen, wanita ditahan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEPANG - Polis menahan seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan seorang wanita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam, selepas disyaki terbabit dalam kegiatan membawa keluar dan masuk warga asing ke negara ini.

Menurut sumber, pegawai dan wanita berkenaan ditahan untuk pemeriksaan oleh anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA yang melakukan rondaan selepas terserempak sebuah kereta Hyundai Sonata.

“Hasil pemeriksaan terhadap kereta dipandu seorang wanita tempatan berusia 45 tahun itu menemui kotak disembunyikan di bawah tempat duduk penumpang hadapan.

“Dalam kotak itu mengandungi sekeping pasport Indonesia, dua pasport China serta kad pengenalan merah milik seorang warganegara Filipina,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata sumber itu lagi, pemeriksaan pada beg galas milik wanita itu menemui sejumlah wang tunai selain beberapa telefon pintar.

Difahamkan ketika pemeriksaan dilakukan, muncul seorang lelaki mendakwa sebagai pegawai Imigresen berusia 40 tahun dan mengaku kereta itu miliknya.

“Wanita yang disoal siasat mendakwa pasport itu adalah milik rakannya yang didakwa berada di luar negara dan akan memasuki Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah ketika dihubungi, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung tangkapan itu.

Artikel Berkaitan:

“Tangkapan itu dibuat 1.30 tengah hari semalam selepas anggota Unit Kereta Peronda Polis (MPV) KLIA mendapati kereta berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang giat dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!